Khamis, 7 Ogos 2014

Tutup pusat cuci kenderaan haram langkah jimat air

SELANGOR KINI


Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang mengadakan mesyuarat semalam telah mengarahkan supaya semua pihak berkuasa tempatan (PBT) menutup pusat mencuci kenderaan tidak berlesen serta merta sebagai langkah menjimatkan penggunaan air.

Bagi pusat cuci kenderaan berlesen pula, premis mereka hanya dibenarkan beroperasi selama enam jam sehari dari pukul 12 tengahari hingga 6 petang dan arahan ini bermula dengan serta merta.

Sehubungan itu, kesemua PBT diarahkan mengeluarkan notis pemberitahuan kepada pengusaha-pengusaha pusat cuci kenderaan supaya membuat persediaan yang sewajarnya.

Kerajaan Selangor sedang berusaha memastikan bekalan air mencukupi dan mampu bertahan sehingga fenomena El Nino berakhir. Catuan air adalah langkah terakhir sekiranya kesemua usaha-usaha yang dijalankan tidak berjaya.

Pada masa yang sama, Kerajaan Selangor menyeru pengguna menggunakan air secara berhemah dan setiasa mengamalkan langkah berjimat cermat.

Buat masa ini, segala langkah mitigasi yang telah diumumkan oleh Kerajaan Negeri Selangor sedang dijalankan.

Langkah berterusan ini adalah termasuk pengurangan kadar pelepasan air Empangan Sungai Selangor kepada 700 juta lliter sehari (JLH) dan Empangan Sungai Tinggi kepada 500 JLH.

Bekalan air mentah ke loji pembersihan air (LPA) dibantu dengan pengepaman air kolam alternatif ke dalam sungai dengan pengeluaran sebanyak 500 JLH. Jumlah pengeluaran tersebut akan ditingkatkan kepada 800 JLH dengan penambahan bilangan pam mulai 8 Ogos 2014.

Selain itu, operasi pembenihan awan juga dilakukan secara berterusan dengan kerjasama Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM), Jabatan Meteorologi Malaysia (MET), dan syarikat AF Jet Sdn. Bhd di seluruh kawasan tadahan di Negeri Selangor.

SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Tiada ulasan: