Jumaat, 1 Ogos 2014

Tukar MB Selangor bukan sebahagian konsensus PAS dengan PKR dan DAP

Oleh Shuhaniza Said

 
Post Pic

 
 
SHAH ALAM: Pakatan Rakyat (PR) sememangnya sudah mencapai konsensus bahawa kerusi Menteri Besar Selangor adalah milik PKR, namun cadangan untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan calon lain tidak termasuk di dalam konsensus berkenaan.  
 
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, disebabkan PKR mahu mengangkat Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar baru, maka PAS akan bermesyuarat dan meneliti cadangan berkenaan.
 
Mustafa dalam pada itu juga menafikan PAS membelakangkan konsensus atau kebersamaan dalam isu pertukaran Khalid, malah kata beliau, adalah perkara biasa parti Islam itu bermesyaurat sekiranya timbul isu yang melibatkan kebersamaan komponen dalam Pakatan.  
 
"Kita dah setuju calon Menteri Besar Selangor ini daripada PKR. Tapi calonnya siapa, kita tak tahu.
 
"(Akan diketahui) 10 Ogos ini. Saya dah sebut dah, pendirian rasminya pada 10 Ogos ini," katanya kepada Antarapos.
 
Tarikh 10 Ogos ini sememangnya menjadi tumpuan apabila AJK PAS Pusat dijadualkan bermesyuarat bagi membincangkan cadangan PKR untuk menukar Khalid dengan Azizah. 
 
Cadangan itu dikemukakan PKR dalam mesyuarat Majlis Presiden PR pada 23 Julai lalu.
 
Terdahulu, cadangan untuk menggantikan Khalid dengan isteri kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat bantahan daripada ramai pimpinan PAS sama ada dari kepimpinan negeri mahupun pusat.
 
Pimpinan PAS majoritinya mahu Khalid dikekalkan sebagai pentadbir Selangor, dan ia kemudian disokong sendiri oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sementelah Menteri Besar Selangor itu tidak pernah khianat dalam menjalankan amanah kepada rakyat.
 
Krisis dalaman Pakatan semakin memburuk dengan pendedahan perbincangan AJK PAS Pusat dalam aplikasi Whatsapp berhubung analisis senario jika parti Islam itu keluar Pakatan bagi mengekalkan Khalid sebagai menteri Besar seterusnya kekal mentadbir negeri terkaya itu. 
 
Mengulas lanjut, Mustafa menegaskan perbincangan berhubung krisis jawatan Menteri Besar Selangor tetap akan berlangsung pada tarikh yang ditetapkan, walaupun beberapa pimpinan meminta ianya disegerakan bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk. 
 
"Ini kita kena belajar berlatih sikit dalam keadaan 'restrain' (halangan). Kena self control (kawal diri)," katanya lagi. 
 
Menurut Mustafa lagi, hasil perbincangan parti itu kemudiannya akan dibawa ke mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang masih belum diputuskan tarikhnya.

Tiada ulasan: