Rabu, 6 Ogos 2014

Tukar MB: Risiko hilang S'gor berbaloi, kata Rafizi

MALAYSIAKINI


 


Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berkata risiko kehilangan Selangor itu berbaloi asalkan PKR berjaya menukar menteri besar yang kurang berintegriti.

Beliau berkata PKR tidak mempunyai kelebihan seperti ahli yang ramai atau kewangan dan hanya memiliki kelebihan integriti.

"Biarlah kami hilang Selangor sekalipun asalkan kami tidak khianat kepercayaan rakyat terhadap kami," kata beliau selepas sebuah forum di Kuala Lumpur semalam.

Rafizi mendedahkan betapa PKR sebenarnya memang mahu menukar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sejurus selepas memenangi 34 dari 56 kerusi Selangor dalam Pilihan Raya Umum ke 13 tahun lalu tetapi dibantah oleh rakan sekutunya DAP dan PKR.

Hal itu juga diakui beliau menyebabkan pengerusi PKR Selangor, Azmin Ali marah kerana sepatutnya beliau yang dilantik sebagai menteri besar.

Bagaimanapun Rafizi berkata hal ini berlaku kerana "PKR sentiasa mendengar konsensus bersama Pakatan Rakyat."

"Keputusan tukar ADUN itu hak PKR tapi keputusan tukar menteri besar itu adalah milik Pakatan.

"Kalau ada seorang ADUN yang DAP dan PAS setuju kita dah dapat menteri besar baru dua tahun lalu," kata beliau.

Sukar dapat konsensus

Anggota Parlimen Pandan mengakui kesukaran mendapat konsensus dan persetujuan dari parti lain terutamanya PAS menyebabkan PKR melakukan "Langkah Kajang" awal tahun ini secara solo pada awalnya.

Beliau mendedahkan betapa PAS ketika di ambang PRU 13 turut mencadangkan anggota Parlimen Umno Tengku Razaleigh Hamzah sebagai perdana menteri sekiranya Pakatan memenangi pilihan raya.

"Kalaulah saya bincang dengan PAS untuk kosongkan kerusi ADUN dan ganti dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sampai hari ni tak tukar menteri besar.

"Bincang nak tukar perdana menteri pun enam tahun tak selesai, apa yang buat anda berfikir perbincangan (tukar mb) akan berlaku dengan cepat," kata beliau.

Hal ini menyebabkan seorang lagi panelis ahli jawatankuasa PAS Hanipa Maidin memohon maaf kepada PKR dan Rafizi dan menegaskan beliau tidak mengetahui langsung perkara tersebut dan menganggap perkara tersebut tidak patut berlaku.

"Walaupun saya ahli jawatankuasa PAS pusat, secara terus terang saya tak tahu apa yang dikatakan Rafizi itu. Jika saya tahu saya akan menentang habis habisan.

"Hal ini tidak beretika dan tidak Islam. Bagaimana boleh cadangkan org luar pakatan sebagai perdana menteri?" katanya.

Tiada ulasan: