Khamis, 7 Ogos 2014

Tinggal menumpang di bawah rumah orang lain

HARAKAHDAILY



Warga emas ini dan isterinya tinggal berteduh di bawah rumah kediaman orang lain untuk meneruskan hidup.

 
BATU SAPI: Dengan hasil pungutan zakat mencecah RM 1.5 bilion setahun, sepatutnya kes kemiskinan tegar di kalangan umat Islam di negara ini sudah tidak kedengaran lagi.

Malangnya ketika sistem pungutan zakat ditambah baik saban tahun, kaedah pengagihannya masih di takuk lama dan gagal memberikan manfaat kepada golongan asnaf.

Melalui program 'Menjejak Asnaf' anjuran Dewan Pemuda PAS Malaysia dengan kerjasama Pemuda PAS Batu Sapi dan Sandakan yang diadakan baru-baru ini, PAS berusaha menjejak golongan asnaf di kawasan parlimen Batu Sapi bagi menyampaikan bantuan dalam bentuk barangan keperluan harian seperti beras, minyak masak, gula dan wang tunai.

Sejumlah 35 keluarga daripada empat kampung menerima sumbangan antaranya Kampung Lupak Meluas Darat dan Kampung Lupak Meluas Laut, Kampung Karamunting dan Taman Po Hing.

Ahli Jawatankuasa Pemuda PAS Pusat, Ustaz Fadhli Shaari yang juga Ketua Pemuda PAS Kelantan melahirkan rasa terkejut dengan pengalaman yang dilaluinya semasa memasuki kawasan-kawasan penempatan penduduk.

"Walaupun ramai orang miskin di Kelantan keadaan tidaklah seteruk ini. Saya tidak pernah menjangka masih ada rakyat yang hidup menumpang di bawah rumah orang lain dan di rumah-rumah tanpa dinding," kata Ustaz Fadhli.

Hadir sama Yang Dipertua PAS Kawasan Batu Sapi, Hamzah Abdullah, Ketua Pemuda PAS Batu Sapi, Haris Alimudin dan Ketua Pemuda Sandakan, Samsul Rijal.

Pada masa yang sama, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) berpusat di Selangor iaitu Persatuan Jaringan Siswazah Malaysia (Jasa) turut menyampaikan bantuan kepada penduduk hasil sumbangan orang ramai.

Pihak Jasa diwakili Penyelaras Jasa Sabah, Khairul Anuar Muhammad.



Ustaz Fadhli menyampaikan sumbangan kepada seorang penduduk sambil diiringi Hamzah Abdullah.

Tiada ulasan: