Ahad, 3 Ogos 2014

Tiga pemain negara kandas aksi penentu gangsa

MALAYSIAKINI



 
 
 
Faktor kepenatan menjadi punca kekalahan tiga wakil badminton negara dalam perlawanan penentuan pingat gangsa Sukan Komanwel di Emirates Arena pada Sabtu.
  
Belum sempat berehat daripada aksi separuh akhir, beregu campuran negara Chan Peng Soon-Lai Pei Jing perlu menentang pasukan tuan rumah, Scotland, Robert Blair-Imogien Bankier namun keputusan tidak memihak kepada mereka apabila tewas 17-21 dan 11-21.
  
Pei Jing juga perlu memikul satu lagi tugas iaitu bergandingan dengan Lim Yin Loo dalam saingan beregu wanita menentang Gabriel Adcock-Lauren Smith dari England.
  
Pei Jing-Yin Loo terpaksa akur dengan kelebihan pencabar mereka Gabriel-Lauren dari England walaupun mendahului set pertama 21-16 namun kalah dalam dua set seterusnya iaitu 15-21 dan 16-21.
  
Turut mengalami nasib sama ialah pemain perseorangan wanita Tee Jing Yi apabila dikecewakan P V Sindhu dari India dengan 21-23 dan 9-21.
  
Bagi Pei Jing beliau mengakui terlalu penat kerana perlu beraksi dalam empat perlawanan hari ini iaitu dua di pusingan separuh akhir serta dua perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.
  
"Saya tidak tahu kenapa pihak pengurusan mengadakan perlawanan separuh akhir dan perlawanan penentuan gangsa pada hari yang sama. Saya hanya sempat rehat dua jam sahaja.
  
"Kalau perlawanan penentuan pingat gangsa tidak diadakan hari ini saya yakin kami (beregu campuran dan beregu wanita) mempunyai peluang untuk meraih pingat untuk kontinjen negara," kata Pei Jing.- Bernama

Tiada ulasan: