MALAYSIAKINI
Tiga anggota tentera maut
manakala seorang lagi parah selepas kereta yang mereka naiki terbabas
dalam kemalangan di Jalan Tanah Putih, Batu 3 di Kuantan tengah malam
tadi.
Menurut Pemangku Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan
Trafik Negeri Pahang, DSP Mohd Noor Yusof Ali berkata mangsa yang
terbunuh Mohd Fahmi Jap, 25, Mohd Ilias Abu Seman, 23, dan Mohd Faizal
Zainol, 26.
Rakan mereka yang cedera parah pula ialah Shamzuri Awang, 23, yang kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.
Beliau
berkata kesemua mereka merupakan anggota tentera daripada Rejimen
Pertama Kor Amor Diraja (1 KAD) dari Kem Batu 10 di Kuantan.
"Kemalangan berlaku kira-kira jam 11.55 malam tadi, mereka dalam perjalanan ke arah Gambang dari Kuantan.
"Siasatan awal mendapati, sebaik tiba di tempat kejadian kereta jenis Honda yang
dipandu Mohd Fahmi terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh sebatang
pokok lalu termasuk ke dalam longkang di situ," katanya kepada Bernama
ketika dihubungi hari ini.
Mohd Noor berkata akibat kejadian
itu tiga mangsa mati di tempat kejadian dan seorang mangsa mengalami
kecederaan parah di bahagian kepala.
Mayat kesemua mangsa kemudian dihantar ke HTAA untuk dibedah siasat.
Semasa kejadian hujan lebat, katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan