Khamis, 7 Ogos 2014

Tiada siapa untung dalam kemelut MB Selangor


Analisis Berita Oleh Sheridan Mahavera .


Krisis menteri besar Selangor menguji gabungan parti dalam Pakatan Rakyat dan mereka berdepan risiko kehilangan Selangor jika pilihan raya negeri diadakan. Gambar fail The Malaysian Insider.
Krisis menteri besar Selangor menguji gabungan parti dalam Pakatan Rakyat dan mereka berdepan risiko kehilangan Selangor jika pilihan raya negeri diadakan. Gambar fail The Malaysian Insider.


Jalan keluar daripada kemelut isu menteri besar Selangor adalah sukar, sama ada untuk mereka yang mahu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kekal atau mereka yang mahu bekas tokoh korporat itu pergi.

Menurut pakar sains politik dan penganalisis, ini kerana rakyat Selangor yang kebanyakannya celik politik dan kritis akan menghukum parti dalam Pakatan Rakyat (PR) berdasarkan tingkah laku mereka mereka menerusi kemelut ini.

 Senario paling teruk adalah krisis ini akan mencetus pilihan raya negeri di mana PR akan berdepan dengan pengundi yang hilang kepercayaan pada gabungan itu untuk mengurus dengan baik. Senario paling baik adalah PR akan terus berkuasa.

Tetapi kredibiliti mereka sebagai satu gabungan padu selain Barisan Nasional (BN) yang mampu mentadbir Malaysia akan dipersoal.

Dalam sistem demokrasi berparlimen yang dipraktikkan di Malaysia, seorang pemimpin yang memegang jawatan dalam pentadbiran awam terikat keputusan partinya. Prinsip ini berkuatkuasa walaupun pemimpin itu dipilih rakyat dalam pilihan raya.

Dalam kes ini, Khalid dipilih pengundi untuk menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor.

Tetapi di kalanagan 56 Adun Selangor, beliau dipilih parti komponen PR untuk dicalonkan kepada Sultan Selangor sebagai menteri besar. Sekiranya beliau hilang kepercayaan gabungan itu, beliau boleh diarahkan mengosongkan jawatan itu.

 Bukan senang jika Khalid mahu kekal Buat masa kini, Khalid berpendirian beliau masih mendapat sokongan majoriti Adun PR dan enggan berundur daripada jawatan itu. Ini walaupun PKR sudah mengeluarkan surat tunjuk sebab agar beliau mengosongkan jawatan tersebut seperti yang diputuskan parti itu pada bulan lepas.

Khalid berdepan kemungkinan akan disingkir daripada PKR. Penganalisis politik dari Penang Institute Dr Wong Chin Huat berkata sekiranya PKR mengambil tindakan untuk menamatkan keahliannya, Khalid hanya boleh ditamatkan sebagai menteri besar melalui usul undi tidak percaya di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Sekiranya beliau gagal mendapat sokongan daripada sekurang-kurangnya 29 Adun Selangor semasa usul itu dibentangkan, beliau mesti melepaskan jawatannya.

Wong berkata, kemungkinan pilihan raya negeri diadakan juga boleh berlaku sekiranya Khalid kalah dalam usul itu.

 Pemerhati politik percaya PKR dan rakannya DAP akan bersepakat dalam usul itu dan memberi sekurang-kurangnya 28 undi tidak percaya terhadap Khalid. DAP menguasai 15 kerusi, manakala PKR 13, selepas undi Khalid ditolak.

 Sekiranya Khalid ingin menewaskan undi tidak percaya itu, beliau perlu sokongan daripada PAS yang mempunyai 15 Adun dan 12 Adun Umno. Beliau juga mesti menarik sokongan daripada satu Adun PKR atau DAP.

Tetapi senario ini amat bahaya.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim perlu sokongan semua Adun PAS dan Umno untuk menang dalam undian tidak percaya terhadapnya dalam DUN. Gambar fail The Malaysian Insider.Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim perlu sokongan semua Adun PAS dan Umno untuk menang dalam undian tidak percaya terhadapnya dalam DUN. Gambar fail The Malaysian Insider.

Sekiranya semua Adun PAS menyokong Khalid, sepertimana dimahukan presiden dan mursyidul am parti itu, ia satu tindakan yang serupa dengan keluar daripada PR.

 “Adalah amat tidak wajar bagi PAS untuk menyokong Khalid,” kata Ketua Eksekutif Institut Bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan.

“Ia adalah satu tindakan yang membelakangi prinsip disiplin di dalam parti,” katanya.

Beliau berkata, sebagai ahli, Khalid mesti akur kepada keputusan partinya. Sokongan presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap tingkah laku Khalid seolah-olah menghalalkan tindakan mana-mana ahli parti untuk mengingkari partinya, kata Wan Saiful.

 “Sekiranya Adun PAS membelangkangi keputusan PR dan menyokong Khalid dalam usul undi tidak percaya, PAS sendiri akan dicap sebagai parti “yang tidak boleh dipercayai”, kata Wan Saiful.

Walaupun Khalid berjaya menghadapi undi tidak percaya itu, imej PAS di kalangan pengundi Selangor akan terjejas teruk.

“Pengundi Selangor berilmu dan sentiasa mengikuti perkembangan politik,” kata seorang lagi penganalisis politik, Ibrahim Suffian.

 “Mereka mempunyai pandangan yang mendalam tentang situasi politik dan tingkah laku politik yang baik,” kata Ibrahim, yang menerajui Merdeka Center.

Bagaimanapun, seorang pemimpin veteran PAS berkata semua 15 Adun PAS Selangor itu dijangka mengundi berdasarkan keputusan parti itu pada 10 Ogos.

PAS dikatakan akan mengeluarkan pendirian tentang jawatan Khalid selepas mesyuarat itu. “Majoriti pemimpin PAS mahu PR bersatu dan tidak berpecah. Cuma ada segelintir yang tidak mahu PAS seolah-olah kelihatan tunduk kepada kemahuan PKR,” kata pemimpin itu yang enggan namanya disiarkan.

Pilihan raya negeri yang mencabar Adalah sukar bagi kedua-dua gabungan, sama ada PR atau BN, untuk meraih undi sekiranya pilihan raya negeri diumumkan. PR terpaksa menjalankan sebuah kempen yang berbentuk defensif, kata Ibrahim.

Gabungan itu perlu banyak mempertahankan dirinya daripada kritikan ia gagal mengurus masalah kepimpinan dalaman sehingga orang awam terpaksa terbeban dengan sebuah lagi pilihan raya. “PR terpaksa banyak meminta maaf daripada mengemukakan platform baru,” kata Ibrahim.

 Ibrahim berkata, peratusan keluar mengundi akan merosot dan pengundi yang keluar akan meneliti setiap parti dan calon, dan perbuatan mereka semasa krisis itu.

 Sentimen perubahan yang menguntungkan PR dalam Pilihan Raya Umum ke-13 tidak akan kelihatan dalam pilihan raya tersebut, kata Ibrahim. Wong berkata, PR mungkin akan kalah sekiranya krisis ini memaksa rakyat Selangor sekali lagi.

“BN boleh menang dalam banyak kerusi jika penyokong PR membuat keputusan untuk menghukum gabungan itu. Kempen rosak undi boleh diadakan atau sebuah ‘gerakan ketiga’ boleh dilahirkan untuk cuba mendapat sokongan.

 “Penyokong konservatif dalam PAS juga berkemungkinan akan undi untuk mengalahkan calon PKR supaya PAS dapat menang lebih kerusi dan mendapat pengaruh untuk calonkan menteri besar.

“Pada masa sama, orang bukan Islam dan penyokong PKR mungkin akan cuba menggunakan undi mereka untuk mengalahkan calon PAS,” katanya.

 Ibrahim berkata, BN juga akan menghadapi masalah dalam meraih sokongan daripada pengundi Selangor yang kebanyakannya celik politik. Isu prestasi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, persepsi BN membenarkan ketegangan kaum dan agama berleluasa dan kenaikan harga barang akan menghantui BN.

 Sekirnya PR masih menang, gabungan itu akan berdepan dengan isu siapa akan jadi menteri besar. Oleh kerana tiada siapa yang boleh menjangkakan parti mana akan mendapat kerusi paling banyak, tiada yang boleh menjangkakan menteri besar baharu akan datang daripada PKR, PAS atau Umno.

Malah jika dilihat bagaimana PR sedang menyelesaikan kemelut menteri besar sekarang, belum tentu lagi gabungan itu dapat menghadapi sebuah lagi krisis menteri besar yang bakal terjadi.

Tiada ulasan: