Selasa, 19 Ogos 2014

Tiada perbincangan untuk timbang semula nama Azmin sebelum Sultan pulang - PKR

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: PKR tidak bercadang menimbangkan nama Timbalan Presidennya, Mohamed Azmin Ali untuk dikemukakan kepada Sultan Selangor sebelum baginda pulang daripada luar negara pada 27 Ogos.
 
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Andalas, Dr Xavier Jayakumar berkata PKR masih berpegang kepada keputusan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (MPPP) dengan mengemukakan calon tunggal, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor. 
 
"Kita akan lihat selepas perbincangan dan keputusan yang dibuat Tuanku. Sekarang kita tak boleh kata apa-apa sebab kita tak tahu keputusan Tuanku..
 
"Kalau katakan Tuanku ada keputusan lain, Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat dengan kerjasama PKR akan buat keputusan dan akan ambil tindakan kemudian," katanya kepada Antarapos.
 
Lewat petang semalam, MPPP mempersetujui untuk mengemukakan nama Wan Azizah kepada Sultan, sekaligus menolak cadangan PAS yang bermesyuarat sebelum itu yang turut mencadangkan nama Azmin, selain Azizah. 
 
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media selepas MPPP memberitahu bahawa Azmin tidak mahu dipertimbangkan untuk kerusi MB, sebaliknya memberikan sokongan kepada Azizah.
 
Azmin sebelum ini dikatakan mempunyai sokongan Angkatan Muda Keadilan dan lapan Pengerusi PKR untuk dicalonkan bagi jawatan MB, bersama Wan Azizah.
 
Bagaimanapun Majlis Pimpinan Pusat PKR akhirnya memutuskan untuk hanya mencalonkan Wan Azizah.
 
Azmin dalam reaksinya berkata, beliau lebih mementingkan parti berbanding keperluan untuk dicalonkan bagi jawatan berkenaan.
 
Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid melihat tindakan Azmin sebagai satu strategi yang bagus bagi menguatkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.
 
"Beliau berikan laluan kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah lebih menjurus kepada kekuatan untuk bekerjasama dan memajukan Selangor khususnya. Itu yang dikatakan kepentingan parti melebihi segala-galanya," ujar beliau.

Tiada ulasan: