MALAYSIAKINI
Pemimpin lantang Umno Datuk Seri Syed Ali Alhabshee hari ini
mempertahankan teguran keras Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai ikhlas, tidak berniat jahat dan
tidak berkepentingan.
Mengumpamakan seperti teguran bapa kepada anak, Syed Ali dilaporkan
berkata, ia bukan kebencian tetapi peringatan ke arah penambaikan parti
dan pentadbiran kerajaan.
“Pada hemat saya, jika Dr Mahathir tidak sayangkan Najib, sudah tentu
dia tidak membuat teguran seperti itu,” ketua Umno Bahagian Cheras itu
dipetik sebagai berkata.
Sehubungan itu, katanya, pemimpin Umno harus menerima teguran tersebut
berlapang dada dan tidak terlalu prejudis walaupun “agak pedas”.
Mahathir semalam menarik balik sokongan kepada Najib selepas melihat
prestasinya lebih buruk berbanding Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum
ini.
Mahathir berkata, beliau tidak sangka pencapaian Najib dalam pilihan
raya umum lalu lebih buruk berbanding Abdullah dan “dasar dan
tindakannya juga tidak lebih berkesan” berbanding pendahulunya itu.
Blog Umno bahagian itu juga melaporkan Syed Ali sebagai bersetuju dengan
pandangan Dr Mahathir bahawa kadangkala orang bawah memberi pendapat
tidak kerana ingin mengambil hati perdana menteri.
“Mereka yang berjawatan dalam parti dan kerajaan, sewajarnya memberikan pandangan yang ikhlas kepada perdana menteri,” tegasnya.
Katanya lagi, jika berlaku sebarang kemusykilan terhadap pandangan atau
teguran Dr Mahathir maka menjadi kewajipan pemimpin parti untuk menemui
beliau meminta penjelasan selanjutnya.
“Umno mempunyai ahli MT, setiauasaha agung dan setiauasaha kerja, mereka
inilah sepatutnya menemui Dr Mahathir jika ada kekeliruan di sebalik
teguran tersebut,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan