Ahad, 3 Ogos 2014

Sukan Komanwel: Tze Liang Bawa Pulang Emas Dan Perak Acara Terjun

 
 
 
EDINBURGH: Selepas meraih pingat emas pada hari kedua acara terjun temasya Sukan Komanwel ke-20, penerjun negara Ooi Tze Liang kali ini menghadiahkan pingat perak kepada kontinjen negara.

Pada saingan akhir acara 10m platform individu lelaki, Tze Liang berjaya mengumpul 433.70 mata, 82.85 mata di belakang jaguh Olimpik dari England, Tom Daley yang mendapat 516.55 mata.

Pingat gangsa acara itu dimenangi Vincent Riendeau dari Kanada dengan 429.25mata.

"Macam dalam pertandingan lain saya cuba memberi fokus yang terbaik dalam setiap terjunan. Saya cuba sedaya upaya untuk tenang dan tidak panik," katanya selepas menamatkan saingan di Kolam Renang Royal Commonwealth pada Sabtu.

Pada saingan 3m papan anjal individu lelaki pada Khamis lepas, Tze Liang menghadiahkan pingat keempat Malaysia bagi temasya kali ini. 

 "Saya mahu menghadiahkan kemenangan ini kepada ibu bapa saya dan jurulatih saya, Huang Qiang yang banyak mengajar saya supaya tidak gugup semasa bertanding," kata penerjun berusia 20 tahun dari Pulau Pinang itu.

Seorang lagi penerjun Malaysia yang beraksi dalam saingan peringkat akhir,Chew Yiwei sekadar di tempat ke-10 dengan 358.55 mata.

Secara keseluruhan, Malaysia menamatkan saingan acara terjun di Sukan Komanwel dengan satu pingat emas, dua perak dan satu gangsa.

Tiada ulasan: