Ahad, 17 Ogos 2014

Status MB: Khalid akan menghadap Sultan Selangor


Abdul Khalid Ibrahim. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM Abdul Khalid Ibrahim. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM


SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi mendapatkan nasihat mengenai jawatan yang masih disandangnya.

Keputusan tersebut dibuat selepas hasil mesyuarat pimpinan Pas Pusat yang berlangsung selama 90 minit itu mendedahkan dua nama, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali sebagai calon Menteri Besar Selangor menggantikan Abdul Khalid.

“Dengan perkembangan terbaharu ini, saya akan memohon menghadap Sultan Selangor untuk diberikan nasihat tentang langkah-langkah seterusnya.

“Sehingga sultan membuat keputusan muktamad, saya akan meneruskan pentadbiran kerajaan Negeri Selangor bersama empat Exco daripada Pas akan meneruskan pentadbiran bagi memastikan rakyat tidak terkesan dengan krisis politik ini,” katanya menerusi sebuah kenyataan hari ini.

Beliau dalam pada itu turut menerima keputusan yang dibuat daripada hasil mesyuarat oleh pimpinan Pas.

“Saya menerima dengan hati terbuka keputusan Pas berkenaan status menteri besar dan barisan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor.

“Saya juga berterima kasih atas kesabaran semua pihak dalam penyelesaian isu dan perkembangan terkini mengikut tatacara yang betul dan berasaskan undang-undang,” katanya lagi.

Tiada ulasan: