Rabu, 20 Ogos 2014

Speaker Sabah diminta tidak belot kepada rakyat

 
Rakyat Sabah tidak menggesa untuk pemisahan tetapi meminta supaya pentadbiran untuk disentralisasi dan kajian serius terhadap hak-hak mereka dalam Persekutuan dilakukan.


datuk seri salleh said keruak


KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Penampang, Darell Leiking meminta Speaker negeri Sabah, Salleh Said Keruak untuk melihat isu-isu yang merisaukan rakyat Sabah dan bukannya mahu menghukum mereka hanya kerana menyuarakan pendapat.


“Gesaan Salleh kepada pihak berkuasa untuk bertindak terhadap cakap-cakap pemisahan adalah terlalu awal dan dibuat tanpa berfikir,” kata Darell dalam satu kenyataan.

“Perasaan kecewa semakin menebal berhubung rasa tidak dihormati yang ditanggung penduduk sejak pembentukan persekutuan pada tahun 1963.”

Darell menegaskan bahawa rakyat Sabah kini sedar kerugian yang mereka alami melalui perkongsian yang tidak sama rata dengan persekutuan.

Beliau menyenaraikan rungutan utama penduduk ialah pendatang haram yang mudah menjadi warganegara, demografi yang berubah-ubah, pengagihan hasil kekayaan tidak sama rata, tiada perkongsian dalam kerajaan persekutuan, pemilikan aset-aset minyak dan gas serta kekurangan peluang pekerjaan di negeri ini.

Darrell berkata Salleh serta Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Masidi Manjun cuba memujuk rakyat Sabah dengan mengatakan bahawa Umno di negeri ini adalah berbeza daripada di Semenanjung.

“Kenapa kedua-dua individu ini bersusah-payah untuk menjelaskan perkara tersebut?” soal Darell.
“Ini bermakna mereka tahu dan yakin bahawa rakyat Sabah adalah berbeza daripada orang-orang di Semenanjung.”

Beliau menambah, gesaan dari rakyat Sabah bukanlah untuk pemisahan tetapi untuk pentadbiran disentralisasikan dan supaya semakan serius ke atas hak-hak mereka dalam persekutuan dilakukan.

Gesaan ini termasuk siasatan sama ada syarat-syarat yang ditetapkan dalam lampiran kepada Perjanjian Malaysia 1963 telah dipatuhi dan sama ada ia boleh dipulihkan semula untuk membetulkan semangat hingga terbentuknya persekutuan, katanya.

“Penduduk Sabah perlu terus bersuara dan berjuang untuk apa yang telah dijanjikan melalui persekutuan supaya masa depan dan hak-hak kita dikembalikan semula dan sentiasa dilindungi.”

Tiada ulasan: