Jumaat, 1 Ogos 2014

SPAD: Tindakan bas kilang mogok rugikan rakyat

MALAYSIAKINI


 


Tindakan operator bas kilang yang mogok dan enggan masuk ke Singapura awal pagi ini adalah tindakan yang tidak munasabah dan hanya menyusahkan rakyat.
  
Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar berkata sebaliknya, operator bas kilang perlu berbincang dengan syarikat yang menggunakan perkhidmatan mereka sekiranya didapati kos meningkat.
  
"Mereka tinggalkan penumpang di Causeway, lepas tu (mereka ini) terpaksa berjalan ke Singapura. Ini adalah tindakan yang tidak adil dan munasabah. Bukannya cara yang baik untuk menyelesaikan masalah," kata beliau kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.
  
Beliau berkata kos kenaikan bukan ditentukan oleh kerajaan semata-mata dan seharusnya pengusaha ini perlu berbincang dengan syarikat berkenaan memandangkan mereka di bawah kontrak syarikat itu.
  
Syed Hamid berkata demikian ketika mengulas tindakan pengusaha bas kilang yang enggan memasuki Singapura sehingga menyebabkan kesesakan luar biasa di Tambak Johor selama beberapa jam awal pagi tadi.
  
Syed Hamid berkata berikutan tindakan pengusaha bas kilang itu, SPAD akan menyiasat sama ada mereka ini ada melanggar peraturan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat.
  
"Ini adalah sesuatu yang dibuat untuk negara (pengumuman tol baru) dan bukannya untuk kepentingan mana-mana pihak. Singapura juga melakukan perkara yang sama dengan menaikkan VEP (Permit Masuk Kenderaan)," katanya.
  
"Pada saya, SPAD akan lihat sama ada tindakan operator bas kilang ini ada melanggar mana-mana peraturan. Pada saya, mereka ini tertakluk kepada undang-undang iaitu membawa penumpang, tidak boleh menyusahkan orang ramai atau mendatangkan kesulitan kepada mereka," ujarnya lagi.
  
Syed Hamid berkata kerajaan sudah mengkaji dalam setiap segi dan dari segi kepentingan rakyat sebelum mengumumkan kadar tol baru di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar yang bermula hari ini.
  
Selain tol baru yang bermula hari ini, Singapura turut menaikkan kadar bayaran VEP bagi kenderaan berdaftar di luar negara yang mahu memasuki Singapura daripada S$20 (RM51.44) kepada S$35 (RM90) sehari mulai hari ini.
  
Pada masa sama, bayaran Permit Kenderaan Barangan (GVP) berdaftar di negara luar pula dinaikkan daripada S$10 (RM25.72) kepada S$40 atau RM102.88.- Bernama

Tiada ulasan: