Rabu, 6 Ogos 2014

Sidang media sokong Azizah sebagai MB Selangor kecoh [TONTON VIDEO]

Oleh Wan Anis Ilyani W. M. Azhar
Post Pic

 
 
PETALING JAYA: Sidang media Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin bagi menyatakan sokongan kepada Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi Menteri Besar Selangor yang baharu kecoh seketika apabila seorang petugas PKR mengedarkan kenyataan media yang bercanggah.
 
Kenyataan media yang dikatakan daripada Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Selangor bertajuk "MPN Selangor Cadang Dua Nama untuk Selesai Kemelut MB" yang mahu PKR menimbang nama timbalan presidennya, Azmin Ali untuk jawatan itu, selain Azizah.
 
Kenyataan bercanggah itu menyebabkan Zuraida panik seketika sebelum meminta pemberita menggunapakai kenyataannya dan mengabaikan kenyataan media kononnya daripada MPN Selangor itu.
 
"Siapa yang beri kenyataan itu? Siapa yang edar tolong ke depan. Gunakan kenyataan sidang media saya sahaja, yang baru diedar itu abaikan," katanya kepada pemberita.
 
Kenyataan MPN Selangor itu berkata Azmin layak untuk jawatan berkenaan kerana berpengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan di peringkat Pusat, telah lama berkhidmat bersama Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim serta terlibat dalam kepimpinan parti.
 
"Kita memerlukan seorang pemimpin yang lebih tangkas, berpengalaman luas dalam pentadbiran dan pengurusan kerajaan, berhemah dalam pengurusan ekonomi dan mempunyai daya tahan dan juang untuk berdepan asakan Umno-BN.
 
"Azmin diyakini mampu mencorakkan halatuju Pakatan Rakyat dan menjadikan Selangor sebagai sebuah negeri contoh pentadbiran PR yang berteraskan tata kelola yang baik dan peduli rakyat," ujar kenyataan itu.
 
Zuraidah yang ditemui di luar bilik sidang media tidak menolak kebarangkalian kenyataan media kedua sengaja diedar untuk mensabotaj PKR sekali gus mewujudkan rasa tidak puas hati dalam parti.
 
"Saya nafikan kenyataan itu, dan mungkin juga wujud sabotaj," ujar Ahli Parlimen Ampang itu.
 
Di dalam situasi kelam kabut itu, seorang Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang juga Ketua Cabang Tanjong Karang, Mohd Yahya Mah Shari mendakwa petugas media yang mengedarkan kenyataan kedua itu.
 
Namun setelah ditempelak oleh wartawan, beliau bertindak menarik balik tuduhan tersebut.
 
"Anda yang terima, siapa yang edar? Mungkin juga wartawan edar sebab kita duduk depan. Kita tak salahkan wartawan, bukan tuduh sebab yang duduk di belakang adalah wartawan.
 
"Wartawan ambil kenyataan dari sumber rasmi saja, yang tak rasmi tak perlu buatlah," katanya Yahya.
 

Tiada ulasan: