MALAYSIAKINI
Detik masa seakan terhenti hari ini pada pukul 10.54 pagi apabila
seluruh negara bertafakur selama seminit untuk memberi penghormatan
kepada 20 rakyat Malaysia yang terkorban dalam tragedi yang menimpa
pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 selepas jenazah mereka
tiba di tanah air dengan sebuah pesawat khas dari Belanda.
Jalur Gemilang dikibar separuh tiang ketika negara 30 juta penduduk ini
bersatu dalam hiba bagi mengenang 20 warganya yang diragut maut apabila
pesawat berkenaan bersama 298 orang terhempas bertaburan di timur
Ukraine pada 17 Julai, suatu peristiwa menyayat hati yang mengejutkan
seluruh dunia.
Ramai rakyat Malaysia berpakaian gelap hari ini, yang diisytiharkan Hari
Perkabungan Negara, serta bertafakur selama seminit bagi mengenang
mereka yang telah pergi untuk selama-lamanya.
Perhatian tertumpu pada istiadat ketenteraan di Kompleks Bunga Raya
Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) yang diberi kepada mangsa,
apabila pengumuman dibuat agar seluruh negara mula bertafakur selama
seminit, disiarkan secara langsung melalui radio dan televisyen.
Pengumuman itu dibuat setelah kesemua 17 keranda dan tiga kendi berisi
abu mayat mangsa yang dibawa pulang dengan pesawat MAS MH6129 dari
Amsterdam, diletakkan di dalam 20 kenderan jenazah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan