Selasa, 5 Ogos 2014

Selesaikan senario politik di S’ngor secara harmoni – Budi S’ngor

Oleh Amirul Azhan


KUALA LUMPUR : Gabungan NGO-NGO Budaya dan Etnik (Budi) Selangor yang prihatin dengan perkembangan politik mutakhir di negeri itu berharap supaya senario tersebut dapat diselesaikan secara aman dengan semangat setiakawan dan harmoni.

“Kami amat bimbang dengan perkembangan politik yang berlaku di Selangor sekarang.

“Kami harapkan segala kekeruhan dapat dijernihkan semula manakala kekusutan dapat diatasi dengan keharmonian,” kata Pengerusinya, Jamali Salamon pada kenyataan.

Semalam, Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail menggesa Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berundur daripada jawatan Menteri Besar Selangor dan digantikan dengan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kerana terlibat dalam isu berkaitan integriti.

Menurut Jamali, setiap individu mesti akur dan patuh kepada amalan peraturan tataetika dan tatakelola seperti parti politik yang mempunyai jawatankuasa, di mana sebarang keputusan jawatankuasa mesti dipatuhi oleh setiap ahlinya.

“Keputusan untuk melucutkan jawatan MB adalah kerana satu agenda yang lebih besar yang telah difikirkan oleh pimpinan Pakatan Rakyat,” ujar beliau.

Budi antara badan NGO yang aktif dalam memastikan sokongan rakyat kepada pembentukan Pakatan Rakyat sejak 1999 sehingga 2008 dan seterusnya memastikan kemenangan Pakatan Rakyat di Selangor pada 2013.

NGO yang terlibat adalah Ikatan Jawa Sejiwa Selangor (iJawa), Yayasan Budaya Seni Nusantara, Kelab Seni Budaya Melayu Selangor, Kelab Cetusan Rasa Selangor & Kuala Lumpur, Kumpulan Pendokong Seni Budaya Selangor, Ikatan Sejahtera Jati Selangor dan Kelab Anak Muda Bandar Petaling.

Tiada ulasan: