Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim


SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak pernah bersetuju dengan tindakan Langkah Kajang dan keputusan bekas Adun Kajang, Lee Chin Cheh meletakkan jawatan.

Menurutnya, alasan untuk melaksanakan Langkah Kajang juga tidak pernah dikemukakan kepadanya secara tulus dan ikhlas untuk diperhalusi .

“Alasan-alasan yang kononnya telah diberikan adalah berubah-ubah dan tidak menentu serta mewujudkan kekeliruan.

“Saya menegaskan di sini, saya tidak pernah bersetuju tindakan Langkah Kajang yang dilakukan serta tindakan Lee Chin Cheh meletakkan jawatan sebagai Adun tanpa alasan munasabah,” katanya yang dipetik melalui surat tunjuk sebab kepada Lembaga Disiplin PKR, hari ini.

 Beliau turut melahirkan kekesalan atas tindakan Chin Cheh itu yang disifatkan telah mencemar prinsip demokrasi dan mengkhianati kepentingan rakyat Selangor.

Ekoran didesak dan dipaksa meletakkan jawatan, Abdul Khalid menyifatkan tindakan itu sebagai keputusan pramatang yang tidak boleh dilaksanakan.

“Setakat ini dan tanpa menghiraukan pendapat kesemua parti politik PR serta terlebih dahulu mendapat perkenan Sultan Selangor, parti nampaknya telah pada 21 Julai membuat keputusan dengan mengambil langkah keras memaksa saya meletakkan jawatan.

“Tindakan ini, saya dengan rendah diri berpendapat adalah keputusan pramatang yang tidak boleh dilaksanakan. Malah jika dilaksanakan, ia merupakan satu tindakan berbahaya dan akan memprejudiskan kestabilan Selangor,” katanya.

Beliau turut berharap dan berdoa agar kemelut tersebut tidak akan berlanjutan serta dapat bersatu meneruskan perjuangan politik parti bersama-sama parti komponen PR.