Selasa, 12 Ogos 2014

“Saya masih mahu PAS bersama Pakatan Rakyat”

Sehingga 17 Ogos ini, beliau telah diberikan surat arahan untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu kemelut Menteri Besar di Selangor.
Dr Abdul Rani Osman


SHAH ALAM: ADUN Meru, Dr Abdul Rani Osman secara peribadi menjelaskan bahawa beliau masih mahu terus kekal bersama Pakatan Rakyat.

Menurutnya, pihak yang menjatuhkan Barisan Nasional (BN) di Selangor bukannya PAS, DAP dan PKR tetapi dilakukan bersama-sama sebagai Pakatan Rakyat.

“Saya secara peribadi tak nak Pakatan Rakyat berpecah,” ujarnya sewaktu diserbu oleh media di Lobi SUK.

Dalam pada masa yang sama, Rani turut menjelaskan sehingga 17 Ogos ini, beliau telah diberikan surat arahan untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu kemelut Menteri Besar di Selangor.

Rani turut menjelaskan bahawa tujuan beliau hadir ke SUK adalah bagi membincangkan mengenai isu sebuah kuil di kawasannya iaitu Meru bukannya untuk berjumpa Khalid Ibrahim.

“Saya hadir ke sini untuk jumpa Pegawai EXCO Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, V. Ganabatirau berkaitan isu kuil di Meru,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa beliau tidak sependapat dengan beberapa ahli PAS yang tidak bersetuju wanita diangkat menjadi Menteri Besar.

“Saya tidak setuju dengan perkara tersebut. Kalau tak setuju wanita menjadi pemimpin, kenapa kita meletakkkan Dr Halimah Ali sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pendidikan Tinggi, dan Pembangunan Insan,” katanya

Tiada ulasan: