Rabu, 13 Ogos 2014

Salahuddin yakin MB baru Pakatan akan dilantik

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS Salahuddin Ayob yakin seorang menteri besar baru Selangor akan dilantik untuk terus menegakkan kerajaan Pakatan Rakyat di negeri itu.
 
Beliau juga menegaskan parti itu tidak mempunyai hasrat untuk keluar daripada gagasan pembangkang dan akan mencari penyelesaian terbaik pada mesyuarat Jawatankuasa Pusatnya Ahad ini.
 

"Saya yakin, PAS tentunya sangat bertanggungjawab untuk pastikan menteri besar baru dapat diganti di kalangan Pakatan Rakyat bagi memastikan amanah dan kepercayaan rakyat dalam PRU13 tidak disia-siakan, sekali gus survival Pakatan di Selangor terpelihara," Salahuddin dipetik berkata oleh Harakahdaily.
 
Beliau berkata situasi politik susulan pemecatan semua enam exco PKR dan DAP oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bersifat sementara dan tertakluk kepada keputusan mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat Ahad ini.
 
Beliau menegaskan PAS tidak akan bekerjasama dengan Umno-Barisan Nasional dalam apa bentuk sekali pun.
 
“Situasi selepas pemecatan exco ini adalah perkembangan sementara dan ia tertakluk kepada perubahan, bergantung keputusan mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat, 17 Ogos nanti," ujarnya.
 
Exco kerajaan negeri PAS kini hanya merangkumi empat exco PAS, diketuai oleh Khalid yang dipecat oleh PKR.
 
Setelah diperkenan oleh Sultan Selangor untuk kekal sebagai MB, Khalid memecat semua enam exco PKR dan DAP setelah dua parti itu menarik balik sokongan terhadap beliau.
 
Enam exco berkenaan bagaimanapun mendakwa pemecatan itu tidak sah dan terus hadir kerja namun memulau mesyuarat exco yang dipengerusikan Khalid.
 
Salahuddin berkata kedudukan PAS yang tetap bersama Pakatan Rakyat dan tidak akan bersama BN itu adalah berdasarkan tiga faktor utama.


 
Beliau berkata PAS masih lagi berpegang teguh dengan keputusan Muktamar Tahunan 2008 yang bersetuju untuk PAS bersama Pakatan Rakyat.


 
Beliau berkata Majlis Syura Ulama yang bermesyuarat pada 6 Ogos lalu, menegaskan untuk terus memberi komitmen bersama Pakatan.


 
Ketiga, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang juga berulang kali menegaskan, dalam apa jua situasi yang berlaku, PAS tetap bersama Pakatan.


 

"Insya-Allah semua kemelut ini dapat PAS selesaikan dalam mesyuarat AJK Pusat Ahad nanti. Kita akan memutuskan yang terbaik,” kata beliau.
 

Mengulas sokongan terbuka ADUN BN terhadap Khalid seperti dinyatakan Tan Sri Muhyiddin Yassin,  Salahudin menegaskan ianya "tidak memberi apa-apa kesan terhadap kerjasama PAS dalam Pakatan.".

 

Tiada ulasan: