Datuk Saifuddin Nasution Ismail Datuk Saifuddin Nasution Ismail


SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] PKR sedia berdepan dengan sebarang kemungkinan dan penentangan yang bakal dikemukakan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Bercakap kepada media semalam, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihak Abdul Khalid bebas memilih untuk menentang PKR jika itu yang dimahukan dan pihaknya tidak akan menghalang sebarang langkah undang-undang yang mungkin diambil Abdul Khalid.

"Ini negara demokrasi, tidak ada sesiapa boleh sekat mana-mana peguam untuk ambil tindakan ke atas parti," katanya.

Peguam mewakili Abdul Khalid telah menghantar surat peringatan kepada Pengerusi Lembaga Disiplin PKR agar tidak membincangkan kedudukan Menteri Besar Selangor itu dalam mesyuarat petang semalam.
 
Surat itu diserahkan oleh peguam Edmund Bon kepada Pengerusi badan itu, Datuk Dr Tan Kee Kwong pagi semalam.
 
Bekas Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Hussin berkata surat itu menyatakan bahawa perkara tersebut tidak boleh dibincangkan sehingga Lembaga Disiplin selesai menjalankan siasatan terhadap Abdul Khalid.

"Pihak kami sudah bersedia dan sentiasa bersedia," kata Saifuddin ketika ditemui Sinar Harian Online.