Mohammad Nizar Jamaluddin Mohammad Nizar Jamaluddin


IPOH - Pakatan Rakyat Perak menggesa Majlis Pimpinan Pusat parti itu untuk mengadakan perbincangan menyeluruh berhubung isu Menteri Besar Selangor serta mengambil kira pandangan semua pihak supaya krisis berkenaan dapat diselesaikan segera.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin turut meminta semua pihak supaya bersabar menantikan keputusan Majlis Pimpinan bersabit perkara itu.

Beliau juga meminta ahli-ahli parti mengambil sikap berwaspada terhadap segala percubaan pihak luar untuk memecahbelahkan Pakatan Rakyat.

"PR Perak mempunyai keyakinan tinggi sebaik selesai isu MB Selangor, seluruh pimpinan dan penyokong PR akan membina kekuatan baru.

"Kami akan menghadapi semangat juang yang lebih jitu dan perpaduan yang erat bagi mempersiapkan jentera PRU14 sekali gus mengangkat perjuangan untuk memartabatkan rakyat Malaysia ke tahap tinggi," katanya pada sidang media di Pejabat PR Negeri, tadi.

Pimpinan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari demi hari terus menerima tekanan daripada pelbagai pihak dalam perikatan itu supaya beliau berundur sebagai menteri besar.

Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon paling layak menggantikan kedudukan Abdul Khalid.