Rabu, 20 Ogos 2014

RM1.088 juta bangun maahad tahfiz, sasar wujud setiap daerah

Oleh : AFEEQA AFEERA


SHAH ALAM : Sejumlah RM1.088 juta disumbangkan Kerajaan Selangor kepada Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran negeri Selangor (PITAS) bagi tujuan pembangunan sekolah maahad tahfiz di negeri ini.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali, berkata Kerajaan Negeri sentiasa menggalakkan anak-anak muda untuk membaca dan menghafal al-Quran selaras dengan visi menjadikan Selangor negeri berkebajikan, idaman, maju dan sejahtera.

h5Beliau berkata Kerajaan Selangor juga kini dalam proses untuk memastikan sekurang-kurangnya terdapat satu Maahad Integrasi Tahfiz Sains di setiap daerah di negeri ini yang akan dikelolakan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

“Pada 2008, kita wujudkan Maahad Integrasi Tahfiz Sains di Jugra dan sekarang Selangor sudah memiliki tiga buah maahad tahfiz dan bercadang untuk tambah lebih banyak lagi.

“Kerajaan negeri berbesar hati bersama-sama dengan PITAS untuk mengembangkan dan memperjuangkan seramai mungkin anak-anak Selangor yang mampu membaca al-quran dengan baik kerana ia adalah sumber ilmu untuk segala-galanya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Hari Huffaz Selangor kali kelapan di Masjid Negeri, dekat sini.

Pada majlis itu, lebih 300 orang pelajar tahfiz dari seluruh negeri Selangor mengalunkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran secara hafazan.

Dalam pada itu, Halimah berkata para pelajar yang sudah menamatkan pengajian di sekolah tahfiz diberi peluang untuk menyertai program “fast track” anjuran Yayasan Pendidikan Islam Selangor (YAPIS) dan Universiti Selangor (Unisel).

Katanya konsep ini diwujudkan bagi memberi galakan kepada pelajar tahfiz untuk membina kerjaya mereka sebaik selesai pengajian di sekolah masing-masing.

“Kita banyaj dengar keluhan daripada anak-anak yang sudah habis hafazan hendak ke mana, bagaimana mahu membina kerjaya mereka.

“Justeru pada tahun 2010, kita mulakan satu konsep di mana program Unisel-Yapis Fast Track diwujudkan untuk memberi peluang kepada pelajar tahfiz yang sudah selesai pilihan kerjaya mereka,” katanya lagi.EZY

Tiada ulasan: