Rabu, 6 Ogos 2014

Rayuan tuduhan rasuah Khir didengar 28 Ogos

MALAYSIAKINI



 


Rayuan bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo terhadap sabitan kesalahan dan hukuman penjara 12 bulan atas pertuduhan rasuah akan didengar oleh Mahkamah Persekutuan pada 28 Ogos.
  
Ketua Bahagian Komunikasi Korporat dan Hubungan Antarabangsa Mahkamah Persekutuan Mohd Aizuddin Zolkeply memaklumkan kepada media hari ini mengenai tarikh berkenaan.
  
Pada 15 April tahun ini, mahkamah menangguhkan pendengaran rayuan itu ke suatu tarikh yang belum ditetapkan memandangkan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Dr Khir menghadiri satu persidangan di Jepun.
  
Mahkamah Tinggi di Shah Alam pada 23 Disember 2011, mendapati Dr Khir, 49, bersalah mendapatkan untuk dirinya dan isterinya suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah banglo di Seksyen 7, Shah Alam empat tahun lalu dan mahkamah menjatuhi hukuman penjara 12 bulan ke atasnya.
  
Mahkamah juga memerintahkan Dr Khir melucut hak harta tersebut dan menyerahkannya kepada kerajaan.

Pada 30 Mei tahun lepas, Mahkamah Rayuan menolak rayuannya dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.
  
Bekas anggota dewan undangan negeri Sungai Panjang itu dituduh mendapatkan untuk dirinya dan isterinya, Zahrah Kechik, 47, dua lot tanah dan sebuah rumah di No. 8 dan 10, Jalan Suasa 7/1L, Shah Alam daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarahnya Datuk Shamsuddin Hayroni.
  
Kesalahan itu dilakukan di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam, pada 29 Mei, 2007.-Bernama

Tiada ulasan: