Rabu, 20 Ogos 2014

Rafizi dakwa Umno/BN reka dokumen palsu

 
 
Adalah melucukan jika ada strategi besar yang ditulis dalam satu dokumen. Malah, dokumen itu pun banyak menimbulkan keraguan dan sepatutnya jelas lebih awal bahawa ia dokumen palsu.

rafizi-01
PETALING JAYA: Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli menasihati orang ramai terutamanya penyokong Pakatan Rakyat (PR) supaya berhati-hati dengan helah yang dimainkan oleh Umno dan BN dengan mereka-reka dokumen palsu untuk memfitnah pimpinan PKR.

Menurutnya, sebelum ini sudah menjadi kebiasaan apabila tweet atau kenyataan palsu dibuat untuk menimbulkan kemarahan.
“Saya pernah membawa isu ini ke Parlimen kerana tweet palsu dari ‘cybertrooper’ yang dibuat oleh Umno.

“Hari ini, satu dokumen palsu
kononnya ringkasan eksekutif Langkah Kajang dimainkan. Saya terkejut melihat mereka yang cenderong kepada PR turut sama menyebarkan perkara ini seolah-olah mereka tidak menapis dahulu kesahihannya,” katanya di dalam laman Facebooknya.

Tambah beliau, adalah melucukan jika ada strategi besar yang ditulis dalam satu dokumen. Malah, dokumen itu pun banyak menimbulkan keraguan dan sepatutnya jelas lebih awal bahawa ia dokumen palsu.

“Penulisnya dilihat tidak berapa mahir dengan bahasa Inggeris. Kalau pun itu dokumen sulit, sepatutnya ditulis “P&C” bukannya “Eyes Only”.

“Penulis seperti terkeliru di antara ISIS dan ISIL. ISIS itu think tank yang menyokong kerajaan, tidakkah jenaka apabila PKR merancang konspirasi sulit dengan ISIS?,” jelasnya.

Ujarnya lagi, semua orang dalaman PKR mengetahui bahawa Azrul Azwar adalah pegawai Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Adakah masuk akal pegawai khas MB yang juga menyokong kuat MB merancang strategi sulit mahu menukar MB?

“Azrul Azwar juga bukan lagi di dalam Institut Rakyat. Semua orang dalaman PKR tahu perkara ini kecuali jika ia ditulis oleh blogger-blogger Umno,” katanya.

Jelasnya, dokumen palsu itu jelas ditulis oleh blogger-blogger Umno seperti pada satu masa mereka pernah menuduh beliau mempunyai hubungan seks dengan seorang wanita Inggeris bernama Kristi.

“Mereka tidak tahu Kristi itu kucing saya. Saya tidak terkejut mainan Umno itu.

“Saya terkejut cepatnya rakyat Malaysia, malah yang cenderong kepada PR, percaya kepada perkara karut tanpa usul periksa. Semaklah perawi dahulu dan gunakanlah akal yang Allah kurniakan,” ujarnya.

Manakala, Datuk Ambiga Sreenevasan yang juga merupakan Penaung Negara-ku, sewaktu dihubungi oleh FMT menjelaskan bahawa perkara dalam dokumen ‘Langkah Kajang’ yang turut menyatakan bahawa Negara-ku akan menerima sumbangan sebanyak RM200,000 daripada ‘Langkah Kajang, adalah tidak benar.

“Ha Ha!!!! Tidak benar!,” katanya dalam respon melalui mesej sms kepada FMT

Tiada ulasan: