Rabu, 6 Ogos 2014

Polis: Jangan marakkan ketegangan sedia ada

MALAYSIAKINI


 


Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang berat dan menolak dakwaan bahawa mereka menjalankan siasatan terpilih dalam isu melibatkan penghinaan terhadap agama dan isu perkauman.

Sebaliknya, kata Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Bakri Zinin, tempoh melengkapkan siasatan berbeza-beza bagi setiap kes dan ia bergantung kepada banyak faktor.

Katanya, antara perkara diambil kira adalah maklumat yang berjaya dikumpul dan bagi memastikan tindakan dapat dilaksanakan secara adil.

Berkaitan dakwaan penghinaan di laman sosial seperti Facebook, Bakri berkata, dalam banyak hal akaun terlibat didaftarkan di luar negara di mana undang-undang Malaysia tidak terpakai.

"Selain daripada itu, PDRM juga terpaksa mengambil masa yang lama untuk menjalankan siasatan forensik apabila pemilik mendakwa akaun mereka telah diceroboh oleh pihak ketiga. Tindakan ini melibatkan kerjasama dengan agensi lain," katanya.

Dalam kenyataannya hari ini, Bakri juga menyeru semua pihak supaya tidak memainkan isu itu hingga boleh memarakkan sentimen perkauman dan agama serta menggugat keharmonian dan ketenteraman awam.

"PDRM juga ingin meyakinkan semua pihak bahawa polis komited dalam menjalankan siasatan dan berharap agar setiap anggota masyarakat mengambil tindakan yang bertanggungjawab dengan tidak menyebarkan maklumat-maklumat sedemikian kerana ia akan memburukkan lagi ketegangan yang sedia wujud," katanya.

Polis dan Peguam Negara Tan Sri Abd Gani Patail kini diasak kumpulan NGO Melayu dan Pemuda Umno selepas didakwa mengamalkan pendakwaan terpilih dalam isu penghinaan terhadap agama Islam, raja-raja Melayu dan perlembagaan persekutuan.

Pemuda BN: Perlu tegas, efisien dan konsisten

Sementara itu, Pemuda BN pula hari ini menyatakan kerisauan terhadap “epidemik” menghina agama, kaum dan budaya yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.

Ketuanya Khairy Jamaluddin (kiri) berkata, mereka tidak akan teragak-agak ke hadapan mempertahankan kesucian agama Islam dan menentang keras penghinaan ke atas agama lain atas semangat muafakat sejak merdeka.

“Kami juga mendesak agar pihak bertanggungjawab mengambil tindakan segera serta tegas terhadap mana-mana individu atau pihak yang sengaja menimbulkan isu sensitif bertujuan untuk menyinggung perasaan mana-mana penganut agama di negara ini,” katanya.

Dalam kenyataannya, Khairy juga mengingatkan, selaku kerajaan bertanggungjawab, pihak berkuasa perlu kelihatan tegas, efisien dan konsisten dalam tindakan serta penguatkuasaan, terutama dalam mendepani zaman teknologi maklumat.

Tiada ulasan: