Rabu, 6 Ogos 2014

PKR kecam perang saraf guna surat palsu

MALAYSIAKINI


Perang saraf antara pihak bertelagah dalam PKR ekoran isu sekitar jawatan menteri besar Selangor semakin rancak dengan penyebaran sepucuk surat yang didakwa dari PKR kepada Tan Sri Khalid Ibrahim.

Surat itu, yang disahkan palsu oleh Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil (bawah), mendakwa PKR menawarkan Khalid bayaran sebanyak RM30,000 sebulan sekiranya beliau melepaskan jawatan menteri besar Selangor.

Surat dengan tajuk “Penyelesaian bersama Langkah Kajang” itu menawarkan imbuhan itu buat Khalid yang akan dilantik sebagai penasihat ekonomi Selangor sekiranya beliau melepaskan jawatannya sekarang.

Surat yang dipalsukan dengan tandatangan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution itu turut menawarkan Khalid jawatan pengerusi jawatankuasa penstrukturan air Selangor sekiranya beliau melepaskan jawatan MB.

"Saya menghubungi Datuk Saifuddin (setiausaha agung PKR) dan mendapat pengesahan bahawa beliau tidak mengeluarkan surat tersebut.

"Malah nombor rujukan yang digunakan juga adalah nombor rujukan palsu; "JKD" merujuk kepada Jawatankuasa Disiplin, dan Datuk Saifuddin tidak menandatangani surat jawatankuasa tersebut," kata Fahmi Fadzil dalam kenyataannya.
 

Tiada ulasan: