Khamis, 7 Ogos 2014

PKR hanya usul nama Wan Azizah, kata Lim Guan Eng

lgeeeeee

Roketkini.com


GEORGE TOWN: PKR hanya mengusulkan nama Ahli Dewan Undangan Negeri Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail sebagai calon Menteri Besar (MB) Selangor yang baru, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

“Nama yang dicadangkan hanya seorang sahaja oleh PKR, iaitu Wan Azizah. Sehingga hari ini DAP tidak menerima sebarang pencalonan daripada rakan parti dalam Pakatan.

“Kita tidak menerima sebarang pencalonan (yang lain) daripada PKR,” katanya dalam satu sidang media semalam.

Kata Guan Eng, tidak ada mana-mana pihak lain yang mencalonkan nama lain sebagai MB, namun sekali lagi menegaskan semua pihak perlu mengisytiharkan terlebih dahulu bahawa calon wanita layak untuk memegang jawatan itu.

Dalam kenyataannya minggu lalu, Guan Eng meminta semua parti menerusi Presiden masing-masing untuk menyatakan bahawa mereka tidak menentang mana-mana wanita untuk memegang jawatan Menteri Besar atau Ketua Menteri di Malaysia.

Beliau merujuk Perkara 8 (2) Perlembagaan Persekutuan melarang sebarang diskriminasi berdasarkan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam sebarang jawatan awam.

Perkara 8 (2) Perlembagaan Persekutuan menyatakan, ‘…Tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina… kepada apa-apa jawatan atau pekerjaan di bawah sesuatu pihak berkuasa awam atau dalam pentadbiran… yang berhubungan dengan pemerolehan, pemegangan atau pelupusan harta atau berhubungan dengan penubuhan atau penjalanan apa-apa pertukangan, perniagaan, profesion, kerjaya atau pekerjaan.”

Tegas Guan Eng lagi, persepsi bahawa wanita tidak layak memegang jawatan sebagai menteri atau mana-mana jawatan tinggi dalam pentadbiran adalah kolot dan ketinggalan zaman.

Guan Eng pada 2 Ogos lalu dalam satu kenyataannya memberikan sokongan penuh kepada mana-mana wanita untuk diangkat menjadi Menteri Besar atau Ketua Menteri.

“Kita kena selesaikan isu ini dahulu, kemudian baru boleh cerita tentang calon MB,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu lagi.

Menurut laporan Sin Chew Daily 5 Ogos lalu, beberapa pemimpin PAS ingin mencalonkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ijok daripada PKR, Dr Idris Ahmad sebagai calon kompromi untuk jawatan itu.

Malah hari ini, timbul nama Timbalan Presiden PKR Azmin Ali dalam isu itu, melalui satu kenyataan media Majlis Pimpinan PKR Selangor yang didakwa palsu yang disebarkan pada sidang media di ibu pejabat PKR pagi tadi. – Roketkini.

Tiada ulasan: