Sabtu, 2 Ogos 2014

PKR cari calon alternatif sebagai plan B jika Azizah ditolak untuk jadi MB Selangor

Oleh Shuhaniza Said

 
Post Pic

 
 
SHAH ALAM: PKR dikatakan sedang mencari calon alternatif sebagai pelan B setelah pencalonan Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail bagi jawatan Menteri Besar Selangor dibantah banyak pihak.
 
Sejak PKR mengumumkan Azizah sebagai pengganti Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, tiga parti kompenan Pakatan Rakyat mula tuding menuding sesama mereka.
 
Portal berita The Malaysian Insider melaporkan sumber-sumber parti memberitahu seorang pemimpin PKR sudah dikenal pasti namun namanya dirahsiakan sehingga konsensus dicapai di antara PKR, DAP dan PAS.
 
Sumber portal itu turut memberitahu nama Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali turut dicadangkan namun ianya ditolak oleh kebanyakan pemimpin PAS.
 
"Calon ketiga haruslah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR, pengikut setia Datuk Seri Anwar Ibrahim dan seorang yang boleh diterima MB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim," kata sumber. 
 
Ujarnya, rekod pencapaian yang baik juga diambil kira untuk membolehkan seseorang itu dicalon menggantikan Khalid.
 
Bagaimanapun sumber itu mendedahkan, Anwar yang juga Ketua Umum PKR tidak dapat bersetuju dengan calon alternatif itu dan masih mahukan Azizah yang juga isterinya diangkat menggantikan Khalid.
 
"Namun, ini satu-satunya cara untuk menyelesaikan isu dalam keadaan baik dan memenuhi kriteria ditetapkan iaitu dia haruslah daripada PKR, diterima Khalid dan juga Pakatan," kata sumber itu lagi.
 
Kemelut pengguguran Khalid semakin parah apabila perbincangan kumpulan Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat dalam aplikasi WhatsApp yang mencadangkan parti Islam itu keluar Pakatan Rakyat, tersebar.
 
Perbincangan WhatsApp itu mendedahkan Pengarah Operasi Penyelidikan PAS, Dr Zuhdi Marzuki mencadangkan kemungkinan PAS bekerjasama dengan Umno untuk menubuhkan kerajaan perpaduan dan pada masa yang sama mengekalkan Khalid sebagai menteri besar.
 
Perkembangan itu membawa kepada pemimpin Pakatan Rakyat berbalas kenyataan sesama mereka.
 
Khalid juga berkali-kali menegaskan beliau tidak akan meletakkan jawatan dan akan menerajui Selangor sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang pada 2018.
 
Kedudukan Khalid juga dilihat agak kukuh apabila Hadi dan Mursyidul Am PAS, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat menyokongnya untuk terus menjadi ketua negeri Selangor.
 
Sokongan Hadi itu mencetus kontroversi lantaran ianya dibuat sebelum PAS Pusat mengadakan mesyuaratnya yang dijadualkan 10 Ogos depan.

Tiada ulasan: