Rabu, 6 Ogos 2014

Pindah longgokan sampah, Selangor yakin masalah di Kajang akan selesai

Oleh: AFEEQA AFEERA


SHAH ALAM,: Masalah sampah di kawasan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) yang berlarutan sejak sekian lama dijangka bakal selesai apabila longgokan sampah di Loji Bahan Bakar Terbitan (RDF) di Semenyih akan dipindahkan ke Tapak Pelupusan Sampah Tanjung 12.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata kerja memindahkan longgokan sampah yang sudah bermula hari ini akan diuruskan sepenuhnya syarikat Hebat Abadi iaitu anak syarikat milik penuh Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).

Katanya, Hebat Abadi akan memindahkan semua 30,000 tan longgokan sampah berkenaan ekoran kegagalan RDF menyelesaikan masalah sampah sehingga menimbulkan rungutan penduduk di Kajang.

IMG-20140805-WA0023“Hebat Abadi juga ditugaskan untuk mengutip sampah sekali seminggu bagi mengutip sampah kitar semula. Operasi kutipan sampah akan diteruskan seperti biasa iaitu dua kali seminggu bagi sisa pepejal, manakala sekali seminggu bagi sampah kitar semula.

“Keputusan untuk melantik Hebat Abadi bagi menyelesaikan masalah longgokan sampah di Kajang dibuat oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), baru-baru ini yang membincangkan isu kutipan sisa pepejal di kawasan MPKj,” katanya dalam satu kenyataan.

Abdul Khalid turut memaklumkan MMKN bersetuju untuk menjalankan audit operasi terhadap loji RDF bagi menentukan keberkesanan pengurangan baki sampah selepas diproses selain menentukan daya maju dan kesinambungan projek berkenaan.

Katanya, ia bertujuan membolehkan Kerajaan Negeri mengenal pasti strategi terbaik bagi menangani masalah sampah di Kajang.

“MMKN juga bersetuju supaya satu kajian menyeluruh dijalankan terhadap tapak seluas 100 ekar yang dicadang dijadikan tapak pelupusan sampah baru bagi menampung sampah yang tidak mampu diproses di Loji RDF.

pic-tan-sri-khalid-tokoh-reformasi“Seorang jurutera pakar dalam teknologi RDF akan dilantik secara kontrak untuk menilai teknologi yang digunakan loji RDF itu.

“MPKj juga akan mengambil seorang jurutera pembersihan khusus untuk menyelesaikan isu berkenaan kutipan dan pelupusan sampah serta kerja pemantauan,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut memaklumkan pihaknya juga bersetuju supaya perjanjian MPKj dan pengusaha loji RDF perlu dikaji semula untuk menentukan tanggungjawab masing-masing.

Masalah sampah di MPKj berlaku apabila Loji RDF yang beroperasi pada 2006 tidak mampu memproses sampah yang dipersetujui dalam perjanjian.

Ini menyebabkan berlaku longgokan sampah di loji itu, sekaligus menganggu operasi kutipan sampah di kawasan MPKj.-NFN-

Tiada ulasan: