Jumaat, 8 Ogos 2014

Pertemuan '8 mata': Saya cuba cari jalan, kata Mustafa

HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali menyambut baik cadangan pemuda Pakatan Rakyat semalam agar diadakan pertemuan lapan mata membabitkan pimpinan tertinggi ketia-tiga parti dalam Pakatan Rakyat bagi merungkai isu jawatan Menteri Besar Selangor.

Mustafa berkata beliau mengambil maklum cadangan itu dan sedia memikul tanggungjawab untuk cuba mencari jalan agar perkara itu dapat direalisasikan.

"Cadangan pertemuan lapan mata antara pemimpin tertinggi Pakatan satu idea yang baik.

"Saya akan cuba memikirkan jalan agar pertemuan seperti yang dicadang itu dapat diadakan," kata beliau kepada Harakahdaily.

Semalam, Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kayat, Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar Mat Akin dan Ketua Pemuda DAP (Dapsy), Teo Kok Seong dalam satu kenyataan bersama mencadangkan pertemuan lapan mata pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat bagi menyelesaikan isu jawatan Menteri Besar Selangor.

Pertemuan lapan mata itu membabitkan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abd Hadi Awang, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang  dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Menurut mereka, krisis dalaman Pakatan Rakyat rentetan isu penggantian Menteri Besar Selangor kini berada pada tahap membimbangkan dan boleh merosakkan masa depan Pakatan Rakyat dalam melakukan perubahan kepada negara tercinta.

Ianya juga boleh memberi gambaran kurang baik kepada generasi muda yang akan mewarisi kepimpinan akan datang.

"Anak muda Malaysia mahukan segala masalah yang timbul dalam Pakatan Rakyat diselesaikan melalui meja rundingan dengan segera," ujar kenyataan itu.

"Kami yakin berdasarkan pengalaman, ketokohan dan kebijaksanaan yang dimiliki empat tokoh tersebut, ia mampu merungkai dan menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi," kata kenyataan itu semalam.- HARAKAHDAILY

1 ulasan:

bat8 berkata...

Xpayah. PAS mesyuarat secepat mungkin untuk buat keputusan keluar daripada Pakatan. Itu yang terbaik bagi semua pihak.

PAS bolehlah bersama UMNO seperti diidamkan. Itupun kalau UMNO masih memerlukan PAS dalam keadaan sekarang. Aku rasa UMNO dah xperlukan PAS lagi.