Isnin, 11 Ogos 2014

PERKASA: Buat, jangan cakap saja, Muhyiddin

MALAYSIAKINI



 
 
 
PERKASA menyambut baik kesediaan kerajaan meminda undang-undang bagi membolehkan tindakan tegas diambil terhadap penghinaan agama dan hasutan di media sosial.

Kumpulan pendesak Melayu itu bagaimanapun menggesa ia dilaksana segera dan bukan sekadar kata-kata bermusim.

“Saranan dan cabaran PERKASA ialah buat, laksana dengan tegas dan jangan cakap saja,” kata presidennya Datuk Ibrahim Ali.

“Bila tiba mesyuarat Umno akan kedengaran hebatlah perjuangan membela Melayu dan Islam, apatah lagi jika musim pemilihan, tetapi selepas itu senyap.”

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) semalam dilaporkan berkata, kerajaan sedia meminda Akta Hasutan dan undang-undang lain bagi membolehkan tindakan tegas diambil terhadap pihak yang menggunakan media sosial untuk menghina agama atau menyebarkan hasutan.

Katanya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan dipertanggungjawab dalam soal multimedia manakala Jabatan Peguam Negara melihat dari segi perundangan jika Akta Hasutan dan akta lain perlu diperkukuhkan.

Beliau juga mengakui, tanggapan bahawa kes melibatkan Melayu cepat diambil tindakan tetapi berbeza pada bukan Melayu ada asasnya dan menegaskan undang-undang harus dikuat kuasakan tidak kira kaum.

Dalam kenyataannya hari ini, Ibrahim menegaskan keperluan “mencegah sebelum musnah” ekoran kini tiada lagi Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang memudahkan pihak keselamatan bertindak.

“Cegah sebelum Musnah. Kalau pemimpin Umno dah faham apa dalam fikiran orang Melayu, ini petanda baik. Masih ada talian hayat. Kekalkan dan tambah baik Akta Hasutan 1946,” katanya.
 

Tiada ulasan: