Rabu, 20 Ogos 2014

Perintah berkurung laut Sabah sehingga Sept 2

 
 
Sesiapa yang didapati bersalah melanggar perintah berkurung itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM 500.

esscom


LAHAD DATU: Menurut Pesuruhjaya Polis Sabah Jalaluddin Abd Rahman, perintah berkurung di pantai timur Sabah akan dilanjutkan sehingga 2 Sept ini.

“Bagaimanapun, ia akan menjadi perintah berkurung selama 10 jam iaitu dari 07:00pm hingga 05:00am kali ini dan bukan 6:00pm hingga 06:00am seperti sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata ini adalah lanjutan perintah berkurung yang ketiga sejak ia dikuatkuasakan pada 19 Julai.

Jelas beliau lagi, perintah berkurung itu adalah untuk melindungi pantai timur dan mencegah penculikan rentas sempadan serta aktiviti-aktiviti jenayah yang lain daripada berlaku.

“Saya telah menulis surat kepada Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Zahid Hamidi tentang perkara ini dan dia bersetuju dengan perubahan masa yang dilakukan,” katanya.

Beliau juga berpuas hati dengan hasil perintah berkurung dan berharap penduduk di pantai timur terutamanya nelayan akan terus memberi sokongan kepada pegawai-pegawai keselamatan semasa perintah berkurung ini berjalan.

Jalaluddin berkata sebanyak 14 nelayan tempatan yang berusia antara 20 dan 40 telah didakwa kerana melanggar perintah perintah berkurung.

“Kesemua mereka dihukum penjara 10 hari dan didenda RM 500,” katanya.

Komander Sabah Eastern Security Command (Esscom) Abdul Rashid Harun, dalam satu kenyataan berkata, perintah berkurung ini telah memudahkan pasukan keselamatan untuk menjalankan tugas mereka di kawasan terlibat.

Sesiapa yang ditangkap melanggar perintah berkurung itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM 500.

Perintah berkurung meliputi enam daerah iaitu Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Semporna, Kunak dan Tawau.

Tiada ulasan: