Sabtu, 2 Ogos 2014

'Pergaduhan' dalam Pakatan Rakyat adalah tanggungjawab PKR, kata Prof Agus Yusoff

Oleh Shuhaniza Said

 
Post Pic

 
 
SHAH ALAM: Krisis jawatan Menteri Besar Selangor yang kini menyaksikan PAS, PKR dan DAP saling menuding jari adalah natijah yang sepatutnya ditanggung PKR, ujar Penganalisis politik, Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yussof.
 
Ini kerana PKRlah yang memulakan perancanaan mahu menukar Khalid menerusi 'Langkah Kajang' tanpa berunding dengan mana-mana parti kompenan baik PAS mahupun DAP.
 
Agus juga tidak menolak andaian bahawa Pakatan Rakyat akan jatuh dan perkara itu disebabkan sikap PKR yang suka membuat keputusan tanpa mengambilkira pandangan rakan kompenannya.
 
"Sekarang ini apabila Menteri Besar tidak mahu turun dan PAS pula tidak bersetuju dengan Langkah Kajang ini, maka menggelabahlah PKR. Maka, muncullah krisis.
 
"Dalam kes isu Menteri Besar ini, banyak pengajarannya. Pertama, pemimpin PKR janganlah memberi kenyataan yang tidak betul. Itu menipu namanya. Contohnya, kata Langkah Kajang bukan untuk menukar Menteri Besar, tetapi akhirnya mencadangkan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk menggantikan Menteri Besar sekarang.
 
"Kedua, belajarlah untuk berunding dengan rakan lain dalam PR sebelum membuat sesuatu keputusan penting. Jika tidak boleh berunding, tunggulah sahaja saat jatuhnya Pakatan Rakyat," katanya dalam status di laman sosial Facebooknya, hari ini.
 
Malah tambah Agus, PKR juga sewajarnya 'serik' dengan tindakan mereka yang lebih banyak mengeruhkan suasana politik negara.
 
"PKR ingat partinya ada suara majoriti. Dan PKR juga ingat kerusi Menteri Besar adalah milik mutlak partinya. Maka, atas alasan itu barangkali Langkah Kajang dibuat tanpa perbincangan. Hasilnya wajarlah apabila PAS marah," katanya.
 
Kemelut jawatan Menteri Besar Selangor yang dilihat mencetuskan perbalahan antara rakan komponen Pakatan khususnya PAS-PKR, kata Agus, adalah waktu terbaik bagi parti Islam itu menyatakan pendirian dengan tegas.
 
Dalam analisisnya seperti yang disiarkan Sinar Harian, Agus berpendapat adalah bagus untuk PAS keluar daripada Pakatan dan menyertai Barisan Nasional (BN) bagi memenuhi beberapa keperluan. 
 
"Pertama, untuk mengukuhkan kedudukan politik orang Melayu dan Islam. Kedua, untuk membolehkan BN mendapat sokongan dua pertiga majoriti dan seterusnya meluluskan persempadan baru kawasan pilihan raya.
 
"Ketiga, saya mahu tahu kekuatan Pas selepas meninggalkan PR. Apakah Pas akan kekal kuat?," ujarnya.
 
Oleh itu kata Agus, PAS seharusnya memanggil satu perhimpunan agung tergempar bagi membolehkan ahlinya membuat pendirian sama ada mahu parti itu kekal bersama Pakatan atau mengundur diri dari gagasan pembangkang itu.
 
"Biarkan pemimpin akar umbi mengundi membuat keputusan sama ada untuk keluar dari PR, menyertai BN atau keluar PR untuk berdiri dengan kekuatan sendiri. 
 
"Saya fikir sudah sampai masanya pemimpin Pas berfikir dan mengambil keputusan tegas tentang hal ini. Jika sekejap ada pemimpin kata tidak boleh sepakat dengan PR dan sekejap pula ada yang kata boleh sepakat, itu politik yang tidak ada jiwa, tidak ada semangat setia kawan, tidak menentu pendirian politiknya dan tidak ada hala tuju yang jelas,"ujarnya lagi.

Tiada ulasan: