KULAIJAYA – Suasana tenang bagi menantikan Majlis Perasmian Agro Johor di RTC Kulai, di sini, bertukar cemas selepas kawasan berkenaan dilanda ribut, kira-kira jam 2.30 petang semalam menyebabkan para pengunjung panik dan terpaksa berlindung di kawasan lebih selamat.

Perasmian yang sepatutnya disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Ismail Mohamed terpaksa ditangguh pada sebelah malam berikutan pentas utama dan beberapa peralatan rosak.

Kira-kira 100 orang termasuk peniaga dan pengunjung di situ panik apabila tiupan angin bertambah kencang diiringi hujan lebat sehingga menyebabkan beberapa kanopi yang menempatkan ruang pameran produk agro turut diterbangkan angin.

Pemilik Arena Traditional Food, Munir Sulaiman berkata, angin kencang melanda sekitar dua minit namun kejadian itu menyebabkannya menanggung kerugian lebih RM1,000 apabila hampir separuh produk jualannya rosak dibasahi hujan.

“Semasa kejadian,  saya hanya fikir untuk menyelamatkan diri walaupun sedia maklum barangan kami akan rosak ,”katanya yang mengakui ia pengalaman pertama dilalui sepanjang terlibat dalam pameran promosi produk.

Sementara itu, Rina Daud,38 berkata, ketika kejadian dia berada di tempat pentas utama sementara menunggu majlis perasmian bermula.

“Memang cuaca kelihatan semakin buruk, namun saya tidak menyangka angin bertiup begitu kencang sehingga berlakunya ribut malah pengacara majlis turut melaungkan azan.

"Saya tergamam melihat kanopi di sebelah bawah tumbang kerana risau keselamatan suami yang berada di situ," katanya.

Bagaimanapun, dia bersyukur  tiada pengunjung dan peniaga yang cedera walaupun mereka terpaksa menanggung kerugian.

Meskipun majlis perasmian ditunda pada jam 9.30 malam, Ismail tetap melawat peserta program Agro Johor itu sekaligus melihat kerugian dialami mereka dan menghulurkan bantuan kepada yang terjejas.

Katanya, seramai 26 pengusaha terlibat dalam program ini terjejas akibat dilanda ribut yang melanda.

"Namun kita amat berharap mereka dapat meneruskan promosi produk pada hari esok (hari ini) sempena hari kemerdekaan.

“Ini kerana pada sambutan itu lebih 4,000 orang terlibat dalam perbarisan. Kita harap ia dapat membantu pengusaha menjual produk mereka,” katanya.