Ahad, 10 Ogos 2014

Penyokong Khalid mungkin demo susulan pemecatan

MALAYSIAKINI


 


Satu gerakan dinamakan Pakatan Anak Selangor Sokong Menteri Besar (Passmeb) merancang untuk mengadakan demonstrasi bagi menyatakan sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim susulan pemecatan beliau dari PKR.

Pengerusinya, Mazli Saring berkata demonstrasi sedemikian tidak mustahil kerana ia diteladani daripada Ketua Umum PKR sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kemungkinan ada demonstrasi itu ada kerana ia dari tahun 1998 yang telah diajar oleh ketua umum (Anwar Ibrahim) sendiri.

"(Kita lihat) bagaimana dia boleh (berdemonstrasi) mendesak (bekas perdana menteri) Tun Dr Mahathir untuk berundur," katanya kepada wartawan selepas forum bertajuk "Khalid Ibrahim Belot Pakatan?" di Kuala Lumpur semalam.

Beliau bagaimana pun belum menetapkan tarikh dan tempat demonstrasi itu akan diadakan.

Menurutnya, pertimbangan itu bergantung kepada keputusan Khalid dalam masa terdekat.

Menurut Mazli, beliau melihat Khalid mempunyai dua pilihan - sama ada membubarkan dewan undangan negeri Selangor atau pun mempertimbang untuk menyertai PAS.

Pada penghujung forum juga, beberapa orang hadirin yang menyokong Khalid mengangkat sepanduk kertas manila dengan tulisan menyatakan sokongan kepada Khalid.

Di antara tulisan yang terdapat pada kad manila itu adalah "Kami rakyat bersama MB TSKI", "Jangan PKR permainkan rakyat Selangor", "Rakyat Selangor akan balas dalam PRU", dan "Doa rakyat Selangor dizalimi, diterima Allah lebih berkuasa".

Selain Mazli, ahli panel lain forum malam tadi adalah penganalisa ekonomi pejabat menteri besar, Azrul Azwar Ahmad Tajuddin; penganalisis politik Nathaniel Tan, dan pegawai komunikasi menteri besar, Shazni Munir.

Forum dimudah cara oleh Ahmad Syukri Razab dari gerakan Lensa Anak Muda Malaysia (LENSA).

Tiada ulasan: