Jumaat, 1 Ogos 2014

Pemuda PAS gesa parti siasat maklumat bocor

MALAYSIAKINI


Pemuda PAS menggesa agar kes perbincangan dalaman PAS Pusat melalui aplikasi WhatsApp yang dibocorkan kepada orang ramai disiasat segera.

"PAS Pusat didesak agar membuka kertas siasatan dalaman terhadap kes 'print screen' maklumat perbincangan dalaman di ruangan Whatsapp AJK PAS Pusat melibatkan mesej dari Dr Zuhdi Marzuki.

"Hukuman yang bersesuaian mengikut lunas-lunas perlembagaan parti perlu diambil segera sebaik sahaja pesalah dikenal pasti," kata ketuanya, Suhaizan Kaiat dalam kenyataan.

Beliau turut menggesa PAS agar memantau dan memberi amaran kepada mana-mana pihak agar tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh membawa kepada perpecahan dalam Pakatan Rakyat.

Pada masa sama, beliau menggesa agar semua pihak dalam Pakatan Rakyat menggunakan saluran Majlis Setiausaha atau Majlis Presiden untuk mengeluarkan sebarang kenyataan, dan bukan melalui media sosial.

Sebelum ini, kontroversi tercetus apabila satu cetakan skrin perbincangan kumpulan WhatsApp anggota jawatankuasa PAS Pusat tersebar.

Perbincangan itu menyaksikan Dr Mohd Zuhdi membentangkan "analisis senario" kemungkinan PAS meninggalkan Pakatan dan mengukuhkan kuasa politik Melayu Islam.

Tiada ulasan: