Isnin, 4 Ogos 2014

Pemuda PAS anjur solat hajat bersihkan parti daripada anasir perosak

 Oleh Zeanaaima Mohd. Yusof

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Pemuda PAS  mengadakan Solat Hajat Perdana di seluruh negara bagi membersihkan parti itu daripada "anasir perosak" di samping memperkukuhkan negeri-negeri di bawah teraju Pakatan Rakyat. 
 
Sembahyang pada 7 Ogos itu diadakan tiga hari sebelum Jawatankuasa PAS Pusat mengadakan perjumpaan untuk memutuskan pendirian parti itu bersabit kemelut jawatan Menteri Besar Selangor yang dikatakan menjejaskan Pakatan Rakyat sendiri. 
 
Poster dan risalah mengenai majlis itu menetapkan tujuan Solat Hajat itu bertujuan : 
 
1) Selamatkan keadaan yang tegang
2) Bersihkan parti daripad anasir perosak
3) Perkukuhkan negeri Pakatan Rakyat
4) Teguhkan perjuangan suci dan matlamat yang murni.
 
Solat hajat yang dikatakan anjuran Lajnah Penerangan Dewan Pemuda PAS (DPP) Malaysia itu akan diadakan di setiap Markas Pemuda Kawasan seluruh Selangor.
 
Pimpinan utama PAS mahu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada PKR kekal sebagai MB Selangor sungguhpun parti beliau (PKR) menolak beliau dan mahu presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengambil alih jawatan itu. 
 
Keputusan PKR itu turut disokong oleh DAP dan ramai pihak menjangka perbalahan mengenai isu itu boleh membawa kepada Pakatan berpecah. 
 
Selain Selangor, Pakatan turut menerajui Kelantan dan Pulau Pinang. 
 
Hubungan parti kompenan Pakatan Rakyat kini semakin meruncing akibat ketidakpuasan hati mereka mengenai perkembangan gerakan untuk menjatuhkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.
 
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Murshidul Am PAS Datuk Nik Aziz dan Dewan Ulama parti itu menegaskan Khalid harus dikekalkan kerana beliau selaku MB dan bebas rasuah. 
 
Beberapa AJK PAS, walaupun tidak melanggar pendirian Hadi secara terbuka, berkata PAS Pusat belum memberikan pendirian rasminya yang hanya akan ditentukan Ahad ini. 
 
Pimpinan PKR dan DAP yang  mendesak PAS menghormati hak PKR untuk menggantikan Khalid memandangkan parti itu menerajui kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Selangor. 
 
Ketua Umum  PKR dan Hadi masih belum menyelesaikan kemelut itu namun dalam satu kenyataan Sabtu lalu, mereka bersetuju isu itu akan diselesaikan secara berprinsip tanpa memecah-belahkan pakatan pembangkang itu. 
 
Penasihat DAP Lim Kit Siang turut memberi komitmen sama dalam kenyataan itu.

Tiada ulasan: