Rabu, 13 Ogos 2014

Pemecatan enam exco DAP dan PKR adalah sah - Khalid

Post Pic    
Oleh Shuhaniza Said


SHAH ALAM: Penamatan perkhidmatan kesemua enam exco daripada DAP dan PKR semalam, adalah sah, demikian tegas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
 
"Penamatan khidmat Exco (DAP dan PKR) adalah sah dan diperkenan Sultan Selangor.
 
"Sultan telah berkenan untuk membatalkan pelantikan exco yang terlibat atas nasihat Menteri Besar secara bertulis.
 
"Kenyataan yang mereka keluarkan bercanggah dengan 10 akujanji dan sumpah kesetiaan yang dilafazkan ketika mengangkat sumpah di hadapan Sultan," kata Khalid kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco sebentar tadi.
 
Malah kata Khalid, mesyuarat sebentar tadi berjalan lancar seperti biasa dengan kehadiran 'korum' yang mencukupi yang terdiri daripada empat Exco dan tiga ahli Ex-Officio yang terdiri daripada Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang negeri.
 
"Jumlah ini memadai dan sah mengikut artikel 53 (2) (b) Undang-undang Tubuh Negeri Selangor," katanya lagi.
 
Khalid berkata beliau mengutuskan surat rasmi kepada Baginda Sultan untuk memohon perkenan bagi memecat keenam-enam exco yang mewakili DAP dan PKR.
 
Beliau berkata Sultan Sharafuddin hanya mengambil masa selama dua jam untuk menjawab suratnya.
 
"Saya dah lakukan (tulis surat) semalam. Saya tulis surat kepada Sultan pada jam 2 petang setelah saya menerima berita yang kumpulan exco DAP dan PKR buat kenyataan mereka tak akan sokong MB dan mahu buat undian dalam perbincangan.
 
"Sultan telah membalasnya secara bertulis dan membenarkan MB beritahu supaya exco berkenaan tidak bertugas lagi sebagai exco. Tuanku balas dalam dua jam," kata Khalid sambil menunjukkan surat daripada Sultan Sharafuddin Idris Shah.
 
Khalid turut membaca satu perenggan surat daripada Sultan yang mengesahkan pembatalan tugas kesemua exco itu.
 
"Beta tiada halangan jika Menteri Besar menamatkan perkhidmatan mereka," petik jawapan Sultan yang dibacakan Khalid.
 
Kenyataan itu sekaligus menjawab persoalan mengenai bila masanya Khalid mengadap Baginda Sultan bagi memohon perkenan memecat kesemua mereka.
 
Berikutan itu keenam-enam mereka mengadakan sidang media dan menyifatkan pemecatan itu tidak sah dan menegaskan akan tetap menjalankan tugas seperti biasa.
 
Bagaimanapun, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Khusrin Munawi hari ini mengarahkan kesemua mereka mengosongkan pejabat masing-masing.

Tiada ulasan: