Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali


KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Pas sekali lagi menegaskan tidak akan meminta sesiapa daripada parti itu dilantik sebagai Menteri Besar Selangor kerana berpegang kepada persetujuan bersama PR bahawa jawatan itu diberi kepada PKR meskipun memiliki bilangan kerusi lebih dalam Dun Selangor.

Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali berkata, Pas tetap akan berpegang kepada janji supaya tidak menuntut jawatan itu.

"Perkara tersebut telah lama diputuskan," katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat biro politik parti itu di ibu pejabat Pas di sini, malam tadi.

Mustafa juga menambah, Pas masih belum membuat sebarang keputusan penting berhubung pendirian parti mengenai kemelut Menteri Besar Selangor kerana perkara itu akan diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat yang dijadual pada 17 Ogos ini.

Sementara mengulas mengenai kedudukan terkini Pas dalam PR, Mustafa berkata, pendirian Pas tidak pernah berganjak.

"Pas akan terus bersama PR," katanya lagi.