Rabu, 13 Ogos 2014

PAS tak perlu beri jawapan segera kepada PKR-DAP, tunggu 17 Ogos - Azman Shapawi

Oleh Syed Mu'az Syed Putra
Post Pic



KUALA LUMPUR: PAS tidak akan sesekali tunduk kepada desakan daripada mana-mana pihak termasuk PKR-DAP berhubung arah tujunya dalam pergolakan politik di Selangor sambil menegaskan pendirian parti itu akan diketahui pada 17 Ogos ini.

Menurut bekas Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Azman Shapawi Abdul Rani, pucuk kepimpinan parti perlu bertenang kerana bukan satu keperluan untuk memenuhi desakan komponen Pakatan Rakyat itu.
 
Ini kerana tegas beliau, keputusan yang bakal diputuskan nanti akan menentukan arah perubahan dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor di bawah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
 
"Sebagai sebuah parti politik yang berpengalaman seperti PAS ini, saya rasa PAS tidak perlu rasa tertekanlah dengan tekanan dari DAP atau PKR untuk membuat satu jawapan segera.
 
"Sebab kita perlu satu jawapan yang betul-betul konkrit selepas dibincang dan dibahaskan dalam mesyuarat yang penuh dalam mesyuarat PAS Pusat pada 17 Ogos ini," katanya kepada Antarapos.
 
Justeru kata Azman Shapawi, parti tidak perlu melayan desakan PKR-DAP.
 
"Saya rasa PAS tidak perlu jawab dengan segera sebab kita perlu kepada keputusan yang penuh pada 17 Ogos ini dan memang keputusan awalnya Syura Ulama untuk mengekalkan Tan Sri Khalid.
 
"Keputusan itu sebenarnya kita dah buat awal dah Syura Ulama punya pandangan, belum lagi ada tekanan daripada DAP pada masa itu," katanya mengulas desakan terbaru daripada Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
 
Semalam Lim menggesa PAS untuk menyatakan pendirian sama ada menyokong Khalid atau sebaliknya untuk kekal sebagai Menteri Besar Selangor.
 
Desakan itu dibuat oleh beliau ekoran Barisan Nasional (BN) sudah menyatakan sokongan kepada Khalid tetapi hanya PAS masih belum menyatakan pendirian mereka dalam perkara itu.
 
Untuk rekod, PKR-DAP sudah menyatakan pendirian menyokong pencalonan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail namun PAS masih belum membuat keputusan rasmi.
 
Polemik berterusan selepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan kepada Abdul Khalid untuk meneruskan tugas sebagai menteri besar meskipun kini bergelar wakil rakyat Bebas.
 
15 ADUN PAS terikat dengan keputusan 17 Ogos
 
Ditanya mengenai sokongan 15 ADUN PAS, Azman Shapawi menjelaskan kesemua wakil rakyat itu terikat dan perlu patuh kepada keputusan mesyuarat pada hujung minggu ini.
 
"Semua tanggapan sama ada kita nak beri sokongan kepada Tan Sri Khalid ataupun sebaliknya bergantung kepada keputusan 17 Ogos ini.
 
"Kita nak bagi satu pandangan awal dalam perkara ini kita tak tahu keputusan sebenar yang akan diputuskan oleh parti tapi wakil-wakil rakyat PAS 15 orang itu mesti ikut satu keputusan yang dibuat pada 17 Ogos ini.
 
"Kalau keputusannya sokong maka kita mesti sokong, kalau keputusannya tak sokong kita tak boleh sokong kerana kita bergerak bukan individu tapi bergerak berdasarkan kepada keputusan parti," ujarnya.
 
Kedudukan Khalid kini bergantung kepada PAS untuk menentukan arah sokongan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, menyaksikan BN akan memberi sokongan kepada ADUN Pelabuhan Klang itu.
 
Sekiranya PAS turut menyokong Abdul Khalid dikekalkan sebagai menteri besar kedudukan DUN akan tergantung kerana BN mempunyai 12 ADUN, PAS 15 dan satu wakil Bebas, iaitu Khalid manakala PKR-DAP sebanyak 28 ADUN.

Tiada ulasan: