Isnin, 18 Ogos 2014

PAS kekal bersama Pakatan, impian Umno BN ranap

Oleh Azuan Ab Rahman


KUALA LUMPUR : Umno Barisan Nasional (BN) menerima tamparan hebat apabila Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyatakan komitmen mereka untuk meneruskan permuafakatan politik bagi mempertahankan Pakatan Rakyat.

Keputusan tersebut jelas meranapkan harapan Umno BN yang mahu melihat permuafakan di antara tiga parti yang mendapat undi popular dalam Pilihan Raya Umum ke-13 lalu terungkai lantaran krisis pertukaran Menteri Besar (MB) Selangor.

DSC_8299

Timbalan Presiden PAS, Muhammad Sabu dalam sidang media sejurus selesai mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat di ibu pejabat parti itu di ibu negara tengahari tadi menyatakan keputusan itu dicapai setelah mereka berbincang dan mempertimbangkan isu berkenaan.

“PAS akan terus komited dengan Pakatan Rakyat dalam melaksanakan kerjasama politik Tahaluf Siyasi.

“Ini adalah keputusan sebulat suara hasil dari mesyuarat yang dihadiri oleh hampir kesemua Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat kecuali beberapa orang yang uzur dan berada di luar negara,” jelasnya.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Dalam sidang media sama, Muhammad Sabu menegaskan PAS tidak akan menuntut jawatan MB Selangor bagi menghormati semangat yang ada dalam Pakatan.

Beliau berkata, PAS sebulat suara mengangkat dua nama bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai MB Selangor.

Selain Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, PAS mencadangkan Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali sebagai calon MB Selangor yang baru.

Sidang media berkenaan turut dihadiri pimpinan tertinggi parti itu antaranya Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kayat; Ketua Dewan Muslimat PAS, Siti Zailah Mohd Yusuf; Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar;  Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub.

Tiada ulasan: