Suhaizan Kaiat Suhaizan Kaiat


SHAH ALAM - Pas Pusat perlu memantau dan memberi amaran ke atas mana-mana pihak dalam parti supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh membawa kepada perpecahan dalam Pas dan Pakatan Rakyat.

Ketua Pemuda Pas Malaysia, Suhaizan Kaiat berkata, ia adalah selari dengan usaha dan jaminan Pas yang sentiasa komited untuk bersama Pakatan dalam mengurus tadbir negeri.

"Kalau tidak dipantau dan ditegur, ia akan jadi satu amalan kepada pihak tersebut untuk terus menggunakan aplikasi media sebagai satu saluran untuk memhentam dan menghancurkan parti," katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas analisis Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas (PPP), Dr Mohd Zuhdi Marzuki melalui sistem aplikasi WhatsApp yang tersebar kepada umum sehingga membawa kepada kontroversi antara Pas dan PR.

Dalam perbincangan WhatsApp itu, Zuhdi melontarkan analisis senario yang menunjukkan Pas masih boleh mengekalkan Selangor menerusi kerjasama dengan Umno.

Beliau dalam pada itu turut meminta Pas Pusat untuk memulakan siasatan terhadap kenyataan analisis senario yang dikemukakan Zuhdi.

"Pas Pusat perlu membuka kertas siasatan dalaman terhadap kes 'print screen' maklumat perbincangan dalaman di ruangan Whatsapp AJK PAS Pusat melibatkan mesej dari Dr Zuhdi Marzuki.

"Jika mahu ketengahkan pandangan atau kritikan, gunakan saluran yang betul seperti Majlis Setiausaha dan Majlis Pimpinan Presiden. Jika guna media sosial, ia hanya akan memburukkan lagi keadaan," katanya lagi.