Jumaat, 15 Ogos 2014

Panggil segera Adun belakangkan parti
Suhaizan Kaiat Suhaizan Kaiat


SHAH ALAM – Pemuda Pas hari ini mendesak Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali untuk mengambil tindakan ke atas dua Adun Pas yang menyokong pencalonan Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi merebut jawatan Menteri Besar Selangor.

Ketua Pemudanya, Suhaizan Kaiat berkata, tindakan dua Adun Selangor itu jelas membelakangkan parti apabila dilihat hadir bagi menyatakan sokongan terhadap pencalonan tersebut.

“Kami mendesak Setiausaha Agung Pas Pusat untuk memanggil segera kedua-dua Adun yang terlibat kononnya memberi sokongan kepada Azizah.

“Kami mahu penjelasan sebenar diberikan daripada kedua-dua Adun tersebut,” katanya.

Dua Adun berkenaan, Adun Morib, Hasnul Baharuddin dan juga Adun Hulu Kelang, Saari Sungib turut menyatakan sokongan mereka secara bertulis dalam Akuan Bersumpah yang ditandatangani bersama 28 Adun Selangor yang lain.

Penglibatan dua Adun Pas Selangor itu sekali gus menyaksikan sokongan terhadap Wan Azizah meningkat sementara Abdul Khalid ketinggalan di belakang.

Difahamkan Pas kini sedang menyiasat bersabit tindakan dua ahlinya menyatakan sokongan terbuka ke atas Wan Azizah.

Terdahulu, Majlis Syura Pas dalam satu ketetapan menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Pas Pusat akan bermesyuarat Ahad ini bagi membincangkan kedudukan Abdul Khalid sementara Lajnah Politiknya turut mengadakan perbincangan malam ini, yang dipercayai turut membincangkan topik hangat krisis Menteri Besar Selangor

Tiada ulasan: