Selasa, 5 Ogos 2014

Pakatan yakin isu pertukaran MB Selangor selesai cara baik

Oleh Fiza Abd Halim


KUALA LUMPUR : Isu pertukaran Menteri Besar (MB) Selangor bakal diselesaikan dengan baik berdasarkan semangat gabungan itu, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita yakin bahawa isu MB Selangor ini akan diselesaikan dengan baik sesuai dengan semangat Pakatan Rakyat, samada diselesaikan melalui proses peralihan yang lancar, undi tidak percaya mahupun pilihan raya,” kata Ketua Umum KEADILAN itu.

pakatan-rakyat-convention-2013Katanya, rakyat perlu yakin sekiranya terdapat beberapa keputusan sukar perlu dibuat, ianya akan dibuat hanya setelah mengambilkira kepentingan rakyat.

Bagaimanapun, kata Anwar, tiada alasan untuk mengadakan pilihan raya semula di Selangor memandangkan BN cuma menguasai 12 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), ditambah pula, pilihan raya umum baru sahaja berlalu 15 bulan lalu.

“Sekiranya pilihan raya terpaksa dilakukan, Pakatan telah bersedia untuk menghadapi para pengundi dan berkeyakinan penuh bahawa rakyat Selangor akan sekali lagi menyokong kita.

“Jaminan kita adalah bahawa kita tidak akan sesekali menyimpang daripada nilai-nilai asas dan kita akan terus memastikan kepentingan rakyat tetap didahulukan,” kata Anwar dalam kenyataan.

Beliau percaya peristiwa ini akan terus mematangkan dan memperkasakan Pakatan kerana rakyat telah menaruh kepercayaan dan wajib untuk memastikan Pakatan wajar dipercayai dan kepercayaan rakyat jangan dikhianati.

“Walau apapun yang bakal berlaku, Pakatan bersandarkan tekad rakyat akan terus bertahan! InsyaAllah!,” tegas Anwar.

Tiada ulasan: