Selasa, 5 Ogos 2014

Nurul Izzah: Dedahkan perincian hubungan dagang Malaysia-Israel

KEADILAN DAILY


Saya merujuk kepada laporan Malaysiakini berkenaan kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapha Mohamed yang mengatakan kerajaan sedang menilai semula atau memutuskan hubungan dengan syarikat-syarikat multinasional dari China, Amerika dan Jepun yang mempunyai perniagaan di Israel, sebagai respon terhadap keganasan yang berlaku di wilayah Gaza.

nurul izzah_2Saya merasakan keputusan ini mengalih perhatian terhadap hakikat bahawa wujudnya hubungan perdagangan antara syarikat-syarikat Malaysia dengan Israel – hakikat yang tidak diketahui umum sehinggalah pengakuan Menteri terkini.

Menurut laman web Biro Statistik Israel, pada tahun 2011, Malaysia telah mengeksport hasil sawit, kelapa dan lain-lain minyak sayuran bernilai kira-kira USD$19.41 juta, hasil koko bernilai USD$8.67 juta dan hasil getah bernilai USD$11.54 juta antara lainnya.

Kerajaan perlu memberikan penjelasan, adakah hasil bumi Malaysia juga ada dieksport terus kepada Israel dan syarikat manakah yang terlibat dalam mengeksport hasil bumi Malaysia ke negara Zionis tersebut.

Kerajaan perlu mengambil contoh daripada Kerajaan Chile, yang telah menggantung Perjanjian Perdagangan Bebas mereka, sebagai bantahan ke atas keganasan Israel.

Chile telah lama mempunyai hubungan yang istimewa dengan Palestin. Negara tersebut telah lama mempunyai populasi Palestin Kristian yang terbesar, sehinggakan mereka mempunyai kelab bola sepak mereka sendiri.Selepas keganasan Israel yang bermula 8 Julai lepas, sebuah delegasi pelbagai parti parlimen mereka telah mengadakan pertemuan dengan Kementerian Luar mereka untuk menuntut tindakan ke atas Israel[2].

Pentadbiran Michele Bachelet telah mengutuk sekeras-kerasnya keganasan Israel ke atas Gaza, dan selepas rundingan dengan ahli kongres  Patricio Vallespin, juga mengumumkan kerajaan Chile turut menggantung Perjanjian Perdagangan Bebas mereka.

Naib Presiden Senat, Eugenio Tuma juga menegaskan bahawa mereka akan membawa bantahan mereka ke Persatuan Bangsa-bangsa bersatu, dan menuntut Israel untuk menghentikan pembunuhan orang awam di wilayah-wilayah Palestin.

Selain daripada Chile, kerajaan Bolivia juga secara rasmi telah melabel Israel sebagai “Negara Pengganas”, berikutan jenayah perang yang dilakukan ke atas Gaza. Ecuador, El Salvador dan Brazil juga telah mememanggil kembali Duta Besar mereka ke Israel.

Tindakan-tindakan sebegini jelas menunjukkan solidariti bersama warga Palestine, di atas Nama kemanusiaan harus dicontohi oleh negara-negara yang lain bertamadun.

Berikutan dengan kenyataan Yang Berhormat Menteri itu tadi, saya ingin meminta kementerian agar dapat menyenaraikan syarikat-syarikat yang mempunyai hubungan dagang dengan Israel, dan komoditi-komoditi yang didagangkan.

Sebuah garis masa daripada pihak kementerian untuk sebarang keputusan atau tindakan ke atas Israel, termasuk berkenaan hubungan dagang ini perlu dibuat untuk tindakan segera dan tepat pada masanya diambil.

Kerajaan juga perlu mengkaji semula posisi Malaysia dalam mengadakan perjanjian perdagangan bebas dengan Amerika Syarikat, yang merupakan penaja utama keganasan Israel ini.

Perkara ini perlu diambil kira, sebelum perjanjian seperti Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) ditandatangani.

Israel tidak mungkin mampu untuk melakukan keganasan ini dan keganasan-keganasan lepas di Gaza sekiranya Amerika Syarikat mengambil posisi yang tegas untuk memastikan keamanan dan keselamatan rakyat Palestin.

Amerika Syarikat bersubahat dalam penerusan kesengsaraan rakyat Palestin dengan perlindungan yang diberikan kepada Israel; dan juga sebagai pembekal utama senjata bagi Israel.

Sehingga kini, Israel telah mencabul sebanyak 79 resolusi PBB yang diluluskan di antara 1948 dan 2009. Walaupun Amerika Syarikat merupakan rakan dagang utama Israel, AS telah gagal untuk mengambil sebarang tindakan punitif ataupun menggantung perdagangan dengan rejim Zionis tersebut. Sepertimana dalam kenyataan saya sebelum ini, menandatangani perjanjian ini samalah seperti menyokong keganasan di Gaza.

Justeru, saya menuntut kerajaan mendedahkan syarikat-syarikat yang mempunyai hubungan perniagaan dengan Israel ini, dan mengenakan sekatan ke atas aktiviti perniagaan ke Israel ini, sehinggalah Israel mematuhi undang-undang antarabangsa dan berhenti melakukan pencerobohan dan pembersihan etnik ke atas warga Palestin.

Benar, kepentingan banyak pihak perlu diambil kira, bagaimanapun, tidakkah kepentingan nurani bermoral yang lebih utama – sejajar dengan keputusan awal Malaysia untuk tidak mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel?

Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai merangkap Naib Presiden KEADILAN

Tiada ulasan: