Selasa, 12 Ogos 2014

Noh nafi pakat dengan Khalid, PAS

MALAYSIAKINI



 
 
 
Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata beliau tidak pernah bertemu dengan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim atau pimpinan PAS berkenaan krisis menteri besar Selangor.

Ini termasuk dakwaan Umno bakal mendapat kerusi exco dan bergabung dengan pimpinan PAS di bawah Khalid.

"Never, never, never! Saya sebagai pengerusi perhubungan Umno tak pernah sekali berjumpa Khalid atau PAS untuk berbincang.

"Hal (jawatan) exco itu kita tak tahu. Itu dah terlalu jauh. Kita sedar Umno ni kumpulan minoriti (dalam dewan). Ada 12 ADUN saja," kata Noh (kiri) ketika ditemui selepas mesyuarat Umno Selangor di Shah Alam hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai khabar angin ADUN Umno Selangor dan PAS akan berpakat memberi sokongan majoriti ahli dewan negeri kepada Khalid.

Timbalan Pengerusi Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata BN menyokong Khalid dikekalkan sebagai menteri besar Selangor, tanpa syarat dan ikhlas.

'Ikut arahan bos'

Muhyiddin, yang juga timbalan pengerusi BN, berkata beliau telah berbincang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga pengerusi BN bagi mendapatkan hala tuju berhubung kemelut kepimpinan di Selangor.

Apabila ditanya pendapat peribadi beliau mengenai pemecatan Khalid, Noh berkata beliau hanya mengikut arahan pucuk pimpinan.

"Kira ikut arahan bos. Sah atau tidak (pemecatan) arahan itu hal parti (PKR).

"Itu masalah PKR, mereka bergaduh pecat memecat itu urusan mereka.

"Khalid masih menteri besar sah melainkan dia letak jawatan atau undi tak percaya," kata beliau.

Noh berkata beliau masih belum bertemu dengan pucuk pimpinan tertinggi Umno tetapi bersedia berbuat demikian jika dipanggil.
 

Tiada ulasan: