Rabu, 13 Ogos 2014

Nik Amar: 15 ADUN PAS S'gor perlu sokong Khalid

MALAYSIAKINI


 


Kesemua 15 Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS Selangor perlu memberi sokongan penuh kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang kekal menerajui Selangor sebagai menteri besar.
  
Anggota Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata sokongan berkenaan selari dengan pendirian Majlis Syura Ulama PAS yang mempertahankan Abdul Khalid untuk kekal sebagai Menteri Besar Selangor.

"Apabila Majlis Syura Ulama PAS membuat keputusan menyokong Abdul Khalid dan selagi parti masih belum membuat apa-apa keputusan (lain) mengenainya, dari segi kewajipan wakil rakyat PAS Selangor akan (terus) bersama-sama beliau (Abdul Khalid).
  
"Arahan juga sudah dikeluarkan kepada Exco PAS Selangor supaya kekal dengan jawatan yang ada sekarang," kata Nik Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan kepada pemberita di pejabatnya di Kota Bharu hari ini.
  
Semalam, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan kepada Abdul Khalid untuk kekal sebagai menteri besar walaupun dipecat keanggotaannya daripada PKR, Sabtu lalu.

Perkenan baginda itu diumumkan sendiri oleh Abdul Khalid dalam sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan selepas menghadap Sultan Selangor berkaitan kedudukan jawatan menteri besar.
  
Pada 7 Ogos lalu, Majlis Syura Ulama PAS memutuskan bahawa Abdul Khalid tidak boleh digugurkan daripada jawatan menteri besar Selangor selagi beliau tidak disabitkan sebarang pelanggaran terhadap amanah sebagai menteri besar yang mewajarkannya disingkirkan.
  
Mohd Amar  berkata Majlis Syura Ulama merupakan badan tertinggi dalam parti dan segala yang diputuskan majlis itu selalunya tidak akan disanggah oleh anggota mahupun kepimpinan.- Bernama

Tiada ulasan: