Jumaat, 1 Ogos 2014

NGO: Polis masih mahu notis untuk perhimpunan

MALAYSIAKINI



 


NGO Lawyers for Liberty (LFL) memberi peringatan kepada polis bahawa peruntukan dalam Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA) sudahpun diisytihar tidak mengikut perlembagaan oleh Mahkamah Rayuan.

Peringatan itu timbul ekoran amaran oleh polis ke atas penganjur satu perhimpunan di Brickfields semalam, bahawa tindakan boleh dikenakan ke atas mereka mengikut APA.

Perhimpunan itu disertai ratusan individu yang berang dengan seorang penceramah, Shahul Hamid, atas kenyataan dalam satu video, didakwa menghina penganut Hindu.

Video ceramah di sebuah surau di Shah Alam itu timbul semula baru-baru ini.

Pengarah eksekutif LFL Eric Paulsen berkata beliau terkejut apabila mengetahui mengenai amaran tersebut, yang dikeluarkan oleh pembantu sekretariat ketua polis negara, ACP Asmawati Ahmad, kerana kumpulan tersebut tidak mengeluarkan notis kepada polis terlebih dahulu.

Katanya, polis sepatutnya tahu bahawa keputusan Mahkamah Rayuan telahpun memutuskan bahawa Seksyen 9(5) yang memperuntukkan denda RM10,000 sekiranya penganjur tidak memberi notis 10 hari sudahpun dianggap tidak mengikut perlembagaan.

Oleh itu, peruntukan berkenaan dianggap terbatal dan tidak sah, katanya lagi yang merujuk kepada kes ADUN Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad lawan Pendakwa Raya.

Paulsen berkata Asmawati tidak sepatutnya mendakwa tidak tahu mengenai perkara itu kerana pegawai berkenaan sudahpun menerima penghakiman dalam kes Nik Nazmi.

“Kami ingin mengingatkan polis bahawa keputusan kes Nik Nazmi itu bersejarah, dan menjadi penghakiman paling pentingan dalam isu hak asasi sejak Merdeka – ia memberi mesej paling jelas bahawa semua rakyat Malaysia boleh berhimpun dengan  aman,” katanya lagi.

Tiada ulasan: