Telaga Tiub yang dibina hasil sumbangan rakyat Malaysia melalui Yayasan Amal Malaysia. Telaga Tiub yang dibina hasil sumbangan rakyat Malaysia melalui Yayasan Amal Malaysia.
 
 
 
KUANTAN - Tindakan pihak yang menyalahgunakan nama tabung Palestin untuk menipu penderma memberi tempias kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sah dalam membuat kutipan.

Menyedari situasi tersebut, empat NGO di Pahang semalam tampil memaklumkan kepada orang ramai bagi mengelakkan salah faham.

Haluan Palestin Pahang, Aqsa Sharif Berhad, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Yayasan Amal Pahang tampil diwakili pemimpin negeri masing-masing dengan tegas menyatakan mereka aktif di seluruh negara dan sudah lama membuat kutipan membantu mangsa bencana terutamanya untuk rakyat Palestin.

Pemimpin terbabit terkilan kerana nama pertubuhan yang diwakili mereka turut tercalar berikutan sikap individu yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan.

Mereka turut mencadangkan kerajaan mengambil tindakan tegas jika ada individu yang berani mempergunakan simpati masyarakat untuk kesenangan sendiri.
Kesemua pertubuhan itu memaklumkan tidak pernah melantik sesiapa mengutip derma secara individu, sebaliknya mengadakan program tertentu dalam bentuk kumpulan dan membabitkan orang awam.

Haluan terima tempias

Ketua Biro Haluan Palestin Pahang, Abd Bashir Abd Ghani berkata, kesan daripada satu pertubuhan yang dipercayai cuba menipu penderma, Haluan turut menerima tempias walaupun pertubuhan itu tidak pernah mengutip derma secara individu di premis tertentu.

Menurutnya, oleh kerana Palestin kini menjadi isu besar, ramai yang mahu membantu dan penderma tidak berkira untuk memasukkan wang ke dalam tabung yang didakwa ‘sampai’ kepada mangsa perang itu.

“Haluan adalah pertubuhan yang sudah terkenal membantu Palestin tetapi tempias individu yang menyamar beri kesan kepada kami walaupun mendapat sokongan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya.

Beliau berkata, Haluan mempunyai hubungan rapat dengan lebih 300 NGO diiktiraf di Palestin yang membantu mengagihkan bantuan makanan dan wang tunai kepada mangsa perang Gaza serta kutipan derma yang dilaksanakan tidak bermusim seperti sesetengah pihak.

“Setiap tahun, kita akan menjemput wakil dari Palestin untuk menerima sendiri derma yang dikumpulkan, namun ada masanya kita sendiri akan ke sana bergantung pada keadaan,” katanya.

Kesemua pemimpin itu juga bersedia bertemu Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Pahang (Muip) untuk membincangkan mengenai keadaan berkenaan dan kebenaran kutipan derma.

Aqsa Sharif salur RM14j

Ahli Jawatankuasa Aqsa Sharif Berhad Pahang, Ahmad Azam Mohd Salleh mengakui tidak ada sebarang masalah mengutip derma sejak tiga tahun pertubuhan itu beroperasi.

Menurutnya, sehingga kini pertubuhan itu berjaya menyalurkan sumbangan RM14 juta tidak termasuk Ramadan lalu dan sumbangan dari rakyat Pahang sahaja berjumlah lebih RM100,000.

Katanya, Aqsa Sharif sudah menghantar RM2 juta dalam bentuk makanan untuk berbuka puasa Ramadan lalu, tetapi gagal menyalurkan kesemua sumbangan kerana masalah sekatan di sana.

Bagaimanapun katanya, sukarelawan Aqsa Sharif akan berusaha untuk ke Palestin bagi tujuan menghantar kesemua sumbangan rakyat Malaysia kerana itu adalah harapan mereka melalui pertubuhan berkenaan.

“Kita mempunyai kerjasama erat dengan banyak NGO berdaftar yang memang melakukan tugas untuk menyalurkan sumbangan sehingga sampai ke tangan rakyat Palestin khususnya mangsa perang Gaza,” katanya.

Justeru, beliau mencadangkan pihak berkuasa negeri menubuhkan pasukan khas untuk memantau secara berterusan bagi mengelakkan penipuan berlaku hanya untuk kepentingan individu tertentu.

Sukar melepasi sempadan

Pengerusi Yayasan Amal Malaysia Pahang, Nasrun Amir Abdullah pula memaklumkan tidak mudah sebuah pertubuhan membuka pejabat di Palestin seperti yang didakwa pihak tertentu yang sebenarnya mahu mengaburi mata penderma.

Katanya, melalui pengalaman sukarelawan Yayasan Amal Malaysia, pihak berkuasa keselamatan juga tidak boleh melepasi sempadan dan kesukaran berkenaan menyebabkan NGO berdaftar sukar berurusan dengan NGO Palestin.

“Jadi, jangan mudah percaya dengan mana-mana pertubuhan yang mendakwa boleh menghantar bekalan makanan atau sumbangan ke negara bergolak itu,” katanya.

Bagi yayasan itu, Nasrun berkata, mereka mempunyai bukti kukuh penghantaran sumbangan dengan penyediaan plak dan kain rentang yang sukar diciplak pihak tertentu.

Paling membanggakan apabila rakyat Malaysia turut bantu rakyat Palestin menyediakan telaga tiub untuk lebih 300,000 penduduknya.

Menurutnya, sehingga kini kebanyakan sukarelawan NGO melakukan setiap tugas tanpa upah atau tuntutan dan setakat ini berpuas hati dengan kerjasama NGO di Palestin kerana setiap sumbangan yang dihantar ada buktinya.

“Kami sukar masuk ke sana tetapi melalui bantuan NGO terbabit, kita berjaya menghulurkan sumbangan dari rakyat Malaysia kerana masing-masing hanya memberi fokus kepada bidang kemanusiaan,” katanya.

Abim Pahang kecewa

Abim Pahang juga kecewa dengan sikap individu menggunakan pertubuhan untuk kepentingan sendiri.

Setiausahanya, Dr Ahmad Safwan Mohamad berharap, mungkin pertubuhan yang mahu mengaburi mata orang awam tidak akan mengutip derma jika kerajaan tegas dengan dan ada undang-undang khas untuk menghalang golongan ini.

“Mungkin kerajaan boleh melantik satu badan yang sentiasa memantau golongan ini,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, Abim juga seperti NGO lain yang mahu membantu meneruskan program dan terkini melalui ‘Hands For Gaza’, sumbangan akan disalurkan kepada rakan NGO mereka iaitu Islamic Society Of Jabalia.

Katanya, sumbangan yang diberikan bertujuan membantu penduduk Gaza menyambung kehidupan.

Ternyata, banyak NGO yang tidak senang dengan kehadiran pertubuhan tidak berdaftar atau individu yang sengaja mencari kesenangan melalui penderitaan rakyat Palestin.

Mereka juga mendakwa, mungkin pertubuhan itu ada menyalurkan bantuan tetapi peratusnya mungkin tidak banyak dan bukti yang dipamerkan kepada orang ramai melalui kotak derma juga boleh diciplak.

Kesemua NGO terbabit mahu pihak berkuasa negeri mengambil tindakan tegas dan memantau golongan ini yang menipu masyarakat atas nama penderitaan di Palestin.

Rakyat Malaysia yang mahu menderma melalui empat NGO ini boleh melawati laman web mereka atau Facebook untuk mendapat kebenaran dan maklumat lanjut.