Khamis, 14 Ogos 2014

Mustafa: PAS S'gor diminta beri laporan

MALAYSIAKINI


 


PAS Pusat telah meminta PAS Selangor memberi laporan berhubung isu dua ADUN PAS negeri itu yang telah menyatakan sokongan terbuka kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi menteri besar Selangor.

Harakahdaily memetik Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali sebagai berkata beliau telah menghubungi Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad petang ini dan meminta laporan penuh berhubung perkara itu.

"Saya telah menghubungi Pesuruhjaya PAS Selangor supaya memberi laporan tentang dua orang ini supaya kita dapat gambaran sebenar," katanya dalam laporan Harakahdaily.

Beliau mengulas tindakan dua ADUN PAS, Hasnul Baharuddin (Morib) dan Saari Sungib (Hulu Kelang) yang bertindak menyertai sidang media bersama Dr Wan Azizah hari ini bagi menunjukkan sokongan majoriti dalam DUN Selangor pagi tadi.

Kedua-dua mereka turut menyatakan sokongan kepada presiden PKR itu untuk menjadi menteri besar menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Mengulas lanjut, Mustafa berkata PAS akan menyiasat perkara itu dan akan mendapatkan gambaran sebenar.

Menurut Harakahdaily, sebelum ini, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempertahankan Khalid untuk kekal sebagai menteri besar Selangor berikutan beliau tidak pernah khianat dalam menjalankan amanah kepada rakyat.

Menurutnya, pandangan serupa dinyatakan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Malah, lapor Harakahdaily Majlis Syura Ulamak PAS juga menetapkan pendirian agar Khalid dikekalkan jawatan itu sekiranya beliau tidak disabitkan dengan sebarang kesalahan berhubung pecah amanah.

Tiada ulasan: